KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan kerajaan untuk melanjutkan tempoh sekatan terhadap PetroSaudi International Ltd. (PSI) dan pengarahnya, Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dana tersebut sedang dituntut oleh kerajaan dan kini disimpan dalam akaun pelanggan di Clyde & Co LLP di United Kingdom bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ).
PSOS-VZ adalah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL) yang merupakan unit di bawah PSI dan diasaskan bersama oleh Tarek.
Dalam prosiding semalam, Hakim, Noor Ruwena Mohd. Nurdin membenarkan lanjutan tempoh tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat melalui satu notis yang difailkan pada 5 Disember lalu.
“Saya mengambil kira bantahan pihak responden (Obaid) kerana perkara ini telah berlanjutan lama. Namun, saya juga mempertimbangkan kepentingan awam.
“Mahkamah perlu menyeimbangkan kedua-duanya dan memberi sedikit masa bagi pihak pendakwaan menyelesaikan kes mereka,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tempoh lanjutan selama tiga bulan dari tarikh perintah dikeluarkan semalam sehingga 23 Mac 2026.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan perintah sekatan tersebut pada 11 Disember 2024 dengan tempoh berkenaan berakhir pada 10 Disember lalu.
Dalam prosiding semalam, Mahadi dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip dan Nurul Izzati Sapifee manakala Tarek diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.
Alex Tan pula mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services Ltd, sementara Clyde & Co tidak diwakili peguam.
Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang pihak-pihak daripada memindahkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun pihak ketiga berkecuali yang dipegang oleh firma itu.
Perintah interim itu adalah untuk mengekalkan status quo pihak-pihak sehingga pelupusan permohonan larangan kerajaan untuk mendapatkan perintah bagi menghalang sebarang urusan ke atas wang milik PSI dan PSOS-VZ.
Kerajaan Malaysia mendakwa wang berkenaan datang daripada dana 1MDB dalam usaha sama dengan PSI untuk menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.
Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN










