GBC bincang gencatan senjata Thai-Kemboja 24 Disember

GBC bincang gencatan senjata Thai-Kemboja 24 Disember

MOHAMAD Hasan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai krisis Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur, semalam. – FACEBOOK MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) akan bersidang pada 24 Disember ini bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) semalam memutuskan, Thailand dan Kemboja mesti menghentikan permusuhan dan kembali berdialog bagi mengekalkan keamanan di rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengalu-alukan perbincangan mengenai usaha penyambungan semula gencatan senjata dan menghentikan persengketaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menyuarakan harapan agar penyaheskalasian permusuhan dapat dicapai segera serta menyatakan komitmen untuk terus memantau dan mengambil perhatian terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan rasmi selepas mesyuarat itu di Kuala Lumpur semalam.

Mesyuarat Khas yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menyeru kedua-dua negara untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan bersama.

Pada masa sama, katanya, ke­dua-dua negara diminta meng­hidupkan semula kerjasama da­lam usaha membersihkan pe­riuk api dan melaksanakan penyaheskalasian ketenteraan di sepanjang sempadan bersama di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).

“Kedua-dua pihak juga perlu menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala demi mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan terhadap situasi berkenaan,” katanya.

Mohamad turut menyuarakan kebimbangan serius terha­dap ketegangan dan permusuhan berterusan, yang telah mengakibatkan korban jiwa, kerosakan besar terhadap infrastruktur awam serta pemindahan penduduk awam di kedua-dua belah sempadan.

Katanya, kedua-dua pihak diseru supaya memastikan orang awam yang tinggal di kawasan sempadan terjejas dapat kembali ke rumah masing-ma­sing tanpa halangan serta dalam keadaan selamat, bermaruah dan meneruskan kehidupan serta mata pencarian seperti biasa.

“Mesyuarat turut mengesahkan semula komitmen bersama untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan ke­kerasan, menyelesaikan per­ti­kaian secara aman serta menghormati sempadan dan undang-undang antarabangsa demi mempromosikan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.

“Komitmen tersebut berlandaskan prinsip saling menghormati, kemerdekaan, kedaulatan, kesaksamaan, keutuhan wilayah dan identiti nasional, selaras Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC),” katanya.

Sementara itu, memetik laporan AFP, Kementerian Luar Thailand mendedahkan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sebelum ini, dimeterai secara tergesa-gesa bagi membolehkan ia ditandatangani sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menterinya, Sihasak Phuang­ketkeow berkata, deklarasi bersama itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada Oktober lalu tetapi digantung bulan berikutnya selepas beberapa isu belum diselesaikan dengan teliti.

“Kita tergesa-gesa untuk me­laksanakan deklarasi kerana AS mahu deklarasi tersebut ditandatangani tepat pada masanya sempena lawatan Presiden Trump,” katanya.

Menurut Sihasak, walaupun tujuan utama adalah menanda­tangani perjanjian secepat mung­kin, perbincangan yang lebih teliti diperlukan supaya setiap persetujuan benar-benar dapat dihormati dan dilaksanakan.

Katanya, perancangan tergesa-gesa itu menimbulkan risiko terhadap keberkesanan perjanjian serta kestabilan jangka panjang di sempadan kedua-dua negara.

Menteri Luar Thailand itu turut menyeru masa depan diplomasi serantau memberi penekanan kepada perundingan teliti bagi memastikan setiap perjanjian mempunyai asas yang kukuh dan dihormati semua pihak.

Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja sebelum ini bertujuan meredakan ketegangan sempadan yang telah mengorbankan ramai pihak, namun kegagalan melaksanakan­nya menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kestabilan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Thailand dan Kemboja bersetuju mengadakan perbincangan lanjut minggu ini bagi menamatkan konflik sempadan yang mengorbankan ba­nyak nyawa susulan rundingan krisis di Malaysia.

Sihasak berkata, perbinca­ngan itu akan dijalankan di bawah rangka kerja Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) sedia ada, dengan mesyuarat dijadualkan pada 24 Disember ini.

“Perbincangan ini akan diadakan dalam rangka JBC, jawatankuasa sempadan bersama yang sudah wujud,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini