SHAH ALAM: Persempadanan semula kawasan pilihan raya dijangka hanya dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata, beliau secara peribadi berpandangan ia tidak akan berlaku dalam menghadapi pilihan raya tersebut.
“Kita kena ambil kira kawasan-kawasan yang pengundinya sudah lebih 300,000 orang. Di Gombak pun sudah lebih 200,000 pengundi. Jadi, memang sepatutnya ada kawasan-kawasan pilihan raya baharu.
“Saya percaya itu semua akan berlaku selepas PRU16. Tetapi, di peringkat kita, sudah buat persediaan. Saya sudah minta bahagian-bahagian untuk melihat kawasan-kawasan yang berpotensi,” katanya ketika ditemui pada Town Hall Veteran UMNO Selangor Sesi Ke-4: Pengurusan Persepsi dan Isu-Isu Semasa Menjelang PRU16, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan UMNO khuatir kehilangan sokongan yang lebih besar apabila kerajaan melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.
Antara kawasan yang dijangka memberi kesan dan mungkin menyebabkan UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak lagi berpeluang mewakili kawasan tersebut seperti Parlimen Kota Raja, Bangi dan Subang.
Naib Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat UMNO (Mubarak), Tan Sri Zainal Dahlan berkata, situasi berkenaan dijangka berdasarkan kedudukan BN khususnya UMNO yang hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.
Megat Zulkarnain berkata, semakan persempadanan semula kawasan pilihan raya juga memerlukan sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan Rakyat yang dalam masa sama memerlukan persediaan parti-parti khususnya dalam kerajaan.
“(Justeru) Itu percaya saya, tidak akan kita sokonglah. Di Selangor kita tahu banyak kawasan-kawasan Melayu. Saya percaya kita buat persediaan untuk keseluruhan (kawasan parlimen dan DUN).
Kalau hendak berlaku (buat persempadanan semula), (perlu buat) di kesemua 22 Parlimen dan 56 DUN. Ia tidak hanya berlaku di kawasan-kawasan setempat (tertentu) Puchong, Subang atau Damansara,” ujarnya. – UTUSAN










