Kemampuan wanita sering diragui terutama dalam menggalas projek berskala besar dan mencabar.
Namun, pengasas syarikat reka bentuk dalaman, RHM Design & Construction Sdn. Bhd., Nurul Amira Mohd. Rashid, 36, berjaya menepis stereotaip itu.
Antara pencapaian cemerlangnya ialah menyiapkan reka bentuk dalaman Menara Berkembar Petronas dua bulan lebih awal daripada jadual.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan yang wanita boleh setanding dengan lelaki dalam menguruskan projek mega.
Sehingga kini, dia berjaya meraih tiga projek dengan syarikat gergasi minyak itu.
Projek pertamanya adalah membaiki siling di bahagian lobi Menara 1 yang dijadualkan dalam tempoh tiga bulan tetapi berjaya disingkatkan kepada sebulan sahaja.
“Pihak pengurusan berpuas hati dengan hasil kerja saya dan sekali lagi memilih RHM untuk mengubah suai lantai pantri di kesemua 33 tingkat.
“Projek tersebut siap dalam masa dua bulan berbanding jadual asal selama empat bulan,” katanya selepas majlis sambutan ulang tahun ke-10 syarikatnya baru-baru ini.
Nurul Amira berkata, kejayaan itu dipengaruhi oleh tiga formula iaitu disiplin operasi, inovasi reka bentuk dan pendekatan sistematik dalam pengurusan projek.
Ciri itu sekali gus membezakan RHM dengan syarikat hiasan dalaman lain yang sering berdepan isu proses tidak seragam dan koordinasi lemah.
“Dalam dunia reka bentuk dalaman, hasil cantik sahaja tidak mencukupi, sebaliknya sistem mantaplah yang membina keyakinan klien terhadap kami sepanjang 10 tahun beroperasi.
“Kepakaran kami menguruskan projek melalui prosedur operasi standard (SOP) jelas, kawalan kualiti tersusun dan komunikasi konsisten sepanjang tempoh pembinaan,” ujarnya.

Selesa kerja dengan Gen Z
Segelintir majikan mungkin kurang gemar bekerjasama dengan Gen Z, namun situasi itu berbeza bagi Nurul Amira.
Sebahagian besar daripada 30 kakitangannya terdiri daripada individu lelaki berusia bawah 30 tahun.
“Saya selalu dengar komen-komen negatif tentang kerenah Gen Z tetapi bagi saya mereka memiliki kelebihan tersendiri yang tidak ada pada generasi terdahulu.
“Antaranya ialah kebolehan bekerja dengan pantas dan kreatif,” katanya.
Dia turut dibantu adiknya, Nurul Asiqin, 33, selaku Rakan strategik dan Pengurus Besar.
Perancangan masa depannya adalah untuk muncul sebagai peneraju pasaran dalam industri reka bentuk dalaman di Malaysia.

DNA moden kontemporari
Sehingga kini, Nurul Amira telah mengendalikan lebih 1,000 projek ubah suai dan reka bentuk dalaman.
Skop projeknya bukan sahaja melibatkan kediaman termasuk banglo, teres dan kondominium malah merangkumi ruang komersial serta restoran.
Sentuhan RHM sinonim dengan rekaan moden kontemporari yang menjadi pilihan pelbagai lapisan klien.
“Konsep dekorasi ini merupakan kegemaran saya dan telah menjadi identiti serta kekuatan kami selama ini.
“Bagi saya, konsep ini bersifat malar segar dan klien tidak akan rasa rekaan ruang mereka ketinggalan zaman walaupun selepas lebih 10 tahun,” katanya.
Menurutnya, antara elemen penting dalam konsep moden kontemporari ialah penggunaan kayu dan cermin secara seimbang bagi mewujudkan ruang elegan, lapang serta kekal relevan.











