PETALING JAYA: Aset-aset bernilai tinggi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kesemuanya bernilai melebihi RM122.4 juta atau AS$30 juta kini dalam proses dibawa pulang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Antara aset dianggarkan iaitu 12 lukisan milik Jasmine Loo dipegang Christie’s dan Sotheby’s Auction House Amerika Syarikat (AS) antaranya Pablo Picasso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H. Bailey (b. 1930), Still Life; Alexander Calder (1898–1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869–1954), Femme Assise.
Menurut sumber, SPRM sedang menilai keperluan logistik serta kos yang terlibat bagi membawa pulang aset-aset tersebut.
“Aset yang berada di bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia melalui penghantaran.
“Manakala aset yang berada di bawah jagaan Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di AS, khususnya melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS,” katanya hari ini.
Kata sumber, kos membawa pulang aset-aset ini adalah tinggi kerana ia memerlukan ruang penyimpanan khas, pemeriksaan berkala, rawatan konservasi serta penyelenggaraan berterusan, selain memerlukan koordinasi yang rapi dengan agensi penguatkuasaan asing.
“Pemulangan aset-aset ini telah dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB serta hasil perbincangan dua hala antara SPRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan DOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, SPRM masih meneruskan pengesanan dan siasatan ke atas pelbagai kategori aset termasuk hartanah, aset kewangan dan aset bernilai tinggi melibatkan jurisdiction (bidang kuasa) berbeza.
Katanya, terbaharu siasatan turut melibatkan Casey Tang, individu yang dikaitkan dengan kesalahan 1MDB yang memiliki kediaman mewah di luar negara serta penyelewengan melibatkan firma guaman luar negara. – UTUSAN










