Kisah orang yang dipilih oleh Allah untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat dengan sebab memeluk agama Islam boleh dijadikan panduan dan pengajaran. Salah seorang yang mempunyai liku hidup yang sangat aneh ialah Ubaidillah al-Sindi.
Asalnya berketurunan sikh iaitu agama keluarga dan kemudian memeluk Islam, mendalami ilmu agama sehingga menjadi seorang ulama yang dapat menerbitkan tafsir al-Quran bertajuk Ilham al-Rahman Fi Tafsir al-Quran.
Beliau dilahirkan pada 10 Mac 1872 di Punjab. Ayahnya meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Selepas dilahirkan, beliau dipelihara oleh datuknya selama dua tahun dan selepas datuknya meninggal, ibunya mengambil alih membesarkannya.
Pada 1884, semasa Ubaidillah al-Sindi mengikuti pengajian peringkat rendah yang ketika itu masih beragama sikh, beliau selalu melihat seorang pelajar membawa satu buku bertajuk Tuhfat al-hindi dan amat tekun membacanya. Beliau mendekati pelajar itu dan meminjamnya beberapa hari.
Peluang keemasan itu digunakan oleh Ubaidillah al-Sindi dengan membaca dan meneliti dari awal hingga akhir. Itulah titik mula rasa cinta kepada Islam dan semasa membacanya beliau merasakan satu kebahagiaan.
Jiwanya memberontak dan seolah berkata kepada dirinya, “sesungguhnya di sana ada satu kehidupan lain yang sedang menunggu kamu”.
Benih cinta kepada Islam mula tumbuh dalam jiwanya. Azamnya untuk menambah ilmu dan maklumat berkaitan Islam semakin kuat. Lantas beliau membaca kitab Taqwiat al-Iman (menguatkan iman) karangan Syah Ismail al-Syahid.
Setiap kali membaca dan meneliti, rasa kasih dan sayang kepada Islam semakin kuat dalam jiwanya. Selepas khatam buku tersebut, beliau membaca kitab lain bertajuk Ahwal al-akhirat iaitu keadaan hari akhirat.
Selepas sempurna pengajian tiga kitab tersebut, timbul keazaman memeluk Islam tetapi beliau menyimpan rahsia itu. Beliau mula bersembahyang secara sembunyi di rumahnya tanpa diketahui ibu dan saudaranya.
Pada satu hari, ibunya melihat beliau bersolat lantas menjerit dengan kedua tangan diletak atas kepalanya berkata: “Anakku telah menukar mazhab dan agama”.
Ahli keluarganya melarang Ubaidillah al-Sindi melakukan solat. Memahami situasi yang sedang berlaku dan rasa amat susah hidup bersama keluarga, akhirnya Ubaidillah al-Sindi melarikan diri ke kampung Kutlah Rahim Syah.
Di sana, beliau mengumumkan keislamannya dan menggunakan nama Mawlawi Ubaidillah sama dengan nama penulis kitab pertama yang dibacanya Tuhfat al-Hindi.
Semangatnya mendalami ilmu Islam makin bertambah. Beliau diberitahu bahawa di daerah Sind terdapat seorang guru yang alim bernama Hafiz Muhammad Siddiq.
Ubaidillah bermusafir ke Sind berjumpa Hafiz Muhammad Siddiq dan bercerita kisahnya dari mula hingga akhir. Hafiz Muhammad Siddiq amat memuliakannya dan sayang kepadanya.
Beliau memanggil semua muridnya dan memaklumkan bahawa lelaki ini telah meninggalkan rumah, keluarganya kerana Islam dan beliau menjadikan Ubaidillah sebagai anak angkatnya.
Rasa gembira Ubaidillah terhadap perisytiharan gurunya menyebabkan beliau sendiri mengumumkan juga gelaran akhir pada namanya dengan al-Sindi yang ada kaitan dengan gurunya. Daripada sinilah nama al-Sindi menjadi masyhur.

PENGAJIAN
Ubaidillah al-Sindi menuntut ilmu tasauf daripada gurunya, Hafiz Muhammad Siddiq. Selepas itu, semangatnya untuk mendalami ilmu semakin kuat dan gurunya memberi nasihat pergi ke sebuah madrasah terkenal ketika itu dengan ramai ulama sebagai tenaga pengajarnya iaitu Dar al-Ulum Deoband.
Pada zaman tersebut Dar Ulum adalah pusat ilmu dan pelajar-pelajarnya datang dari seluruh pelosok dunia untuk mendalami ilmu syariah.
Di Deoband, Ubaidillah al-Sindi berjumpa seorang muhadis iaitu Maulana Mahmud al-Hasan, guru yang amat alim. Beliau mendapati Ubaidillah al-Sindi orang yang bijak dan pintar. Oleh itu, beliau memberi tumpuan kepada Ubaidillah dan mengajarnya banyak ilmu.
PENGAJARAN
Selepas beberapa tahun pengajian Ubaidillah al-Sindi di Deoband, akhirnya beliau menguasai banyak ilmu dengan kefahaman agama yang amat baik. Selepas diberi pengiktirafan oleh ramai gurunya, bermulalah era pengajaran. Beliau mengajar ilmu tafsir dan hadis.
Dalam sejarah hidupnya ada tercatat Ubaidillah al-Sindi bermusafir ke Afghanistan dan Turki. Selain itu beliau juga ke Mekah pada tahun 1344 hijrah di mana pada tahun tersebut diadakan satu muktamar Islam yang dihadiri ramai ulama.
Raja Arab Saudi ketika itu ialah Malik Abdul Aziz telah memberi penghormatan kepadanya kerana keilmuannya. Pada 1345 hijrah, beliau diberi kebenaran mengajar di Masjidil Haram.
Mengajar di Masjidil Haram adalah satu penghormatan yang besar kepada para ulama. Ubaidillah al-Sindi mengajar di sana selama 14 tahun. Halaqah pengajiannya diadakan setiap pagi di bab al-Dawudiyyah. Kuliahnya adalah berkaitan tafsir al-Quran, metodologi dan istinbat berkaitan politik semasa.
Beliau juga amat mahir ilmu berkaitan tabaqat ulama, kitab-kitab hadis dan ilmunya sama ada sahih atau daif.
Selain itu, beliau juga mengajar kitab Muwatta’ Imam Malik, al-Risalah Imam Syafie, kitab al-Fauz al-Kabir Usul Tafsir dan kitab Hujjah Allah al-Balighah, kedua-duanya adalah karangan Syah Waliyullah al-Dahlawi dan kitab-kitab lain.
Halaqah pengajiannya mendapat sambutan ramai pelajar kerana keluasan ilmunya. Dalam satu artikel 2015 bertajuk Ubaidillah Ibn Islam .. dari penyembah berhala sehingga mengajar di Masjidil Haram menjelaskan sejarah perjalanan hidup Ubaidillah al-Sindi.
Dalam artikel itu juga dinyatakan nama-nama pelajarnya, antaranya adalah imam-imam di Masjidil Haram seperti Sheikh Abdullah Khayyat, Sheikh Abdu al-Zahir Abu al-Samh dan Sheikh Muhammad Abdul Razzak Hamzah. Ketiga-tiga mereka adalah imam Masjidil Haram.
Tokoh-tokoh lain yang menjadi muridnya ialah Sayyid Alawi Ibn Abbas al-Maliki dan Sheikh Musnid Muhammad Yasin al-Fadani.
Kedua-duanya adalah tokoh ulama yang mempunyai ratusan pelajar bahkan ribuan yang datang dari seluruh dunia termasuk Malaysia dan Indonesia.
Ubaidillah al-Sindi juga terkenal dengan perjuangan mengekalkan khilafah Islam. Beliau antara pejuang yang memberi kesedaran kepada umat supaya bangkit menyelamatkan khilafah Islam.
Karya penulisannya ialah Pengenalan tokoh-tokoh tajdid, Syah Waliyullah dan falsafahnya, Syah Waliyyulah dan Gerakan politik.
Setelah berada di Mekah selama 15 tahun, Ubaidillah al-Sindi kembali ke India. Selepas lima tahun pulang ke India, beliau meninggal dunia pada 1363 Hijrah.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM










