Warisan barit buka peluang pelancongan, pendidikan geosains

Warisan barit buka peluang pelancongan, pendidikan geosains

CONTOH mineral barit yang bersifat lutsinar dan legap dari Pulau Camal, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARIT atau barium sulfat (BaSO) ialah mineral berat bukan logam yang digunakan dalam pelbagai industri. Namanya berasal daripada perkataan Greek barys yang bermaksud ‘berat’ yang dinamakan oleh ahli mineralogi Jerman, Dietrich Ludwig Gustav Karsten, pada 1800.

Mineral ini berwarna putih hingga kelabu, bersifat lutsinar hingga legap dan memiliki graviti tentu tinggi. Kegunaannya meliputi industri petroleum sebagai bahan pemberat dalam cecair penggerudian, bahan pengisi dalam cat, plastik dan getah, agen kontras sinar-X dalam bidang perubatan serta meningkatkan kualiti produk kaca dan seramik.

Malaysia pernah menjadi pengeluar dan pengeksport barit penting, dengan lombong-lombong utama di Jenderak (Pahang), Bukit Pencuri dan Sungai Pedah (Kelantan) serta Sungai Trengan (Terengganu).

Penemuan barit di Terengganu bermula sejak 1953 dan Pulau Camal menjadi satu-satunya kawasan bekas lombong yang masih tersingkap selepas pembentukan Tasik Kenyir.

Pulau berbukit setinggi 380 meter ini terdiri daripada batuan sedimen berusia 320 hingga 270 juta tahun, yang menyediakan persekitaran sesuai bagi pembentukan mineral barit.

Kajian menunjukkan barit di Pulau Camal wujud dalam tiga jenis endapan utama iaitu lapisan (stratiform) berwarna putih susu hingga kuning cerah, telerang (veins) yang mengisi rekahan batuan dan lebih kasar serta endapan sisa hasil luluhawa yang tidak teratur.

Aktiviti perlombongan dahulu memberi sumbangan ekonomi kepada Terengganu melalui peluang pekerjaan dan hasil mineral, namun landskap pulau turut berubah, membentuk lembah dan kolam bekas lombong.

Kini, antara bekas lombong menjadi tasik kecil berwarna firus yang menarik, membuka peluang pelancongan..

Pulau Camal berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi geo dan ekopelancongan. Bekas lombong boleh dijadikan muzium, taman geologi atau pusat pendidikan geosains.

Tasik sesuai untuk aktiviti air, manakala kawasan berbukit boleh dijadikan tapak perkhemahan dan resort. Pembangunan mampan memerlukan kerjasama kerajaan negeri, agensi pelancongan dan sektor swasta, dengan manfaat kepada komuniti tempatan.

Walaupun perlombongan sudah lama dihentikan, Pulau Camal tetap menjadi warisan geologi dan sejarah yang bernilai.

Jika dimanfaatkan dengan baik, ia bukan sahaja memperkukuh ekonomi setempat tetapi juga menjadi simbol pemuliharaan sumber alam dan warisan geologi Terengganu. – UTUSAN

DR. DONY ADRYANSYAH
Pensyarah Kanan Program
Geosains Marin, Fakulti Sains
dan Sekitaran Marin, Universiti
Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×