PETALING JAYA: Rundingan untuk mencapai perdamaian antara Kemboja dan Thailand akan disambung semula di Kuala Lumpur hari ini apabila Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan menteri luar kedua-dua negara juga bersetuju hadir.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN itu dilihat sebagai wadah paling sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil inisiatif awal dengan sekali lagi menghubungi rakan sejawatnya dari kedua-dua buah negara itu menerusi telefon bagi meminta konflik antara mereka dapat dihentikan.
“Ia akan memberikan satu wadah kepada Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand.
“Selain mempertimbangkan langkah boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan serta kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu dan rantau ini secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Anwar berkata, dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja itu, beliau menyatakan harapan agar ketegangan antara mereka dapat diredakan sekali gus memelihara keamanan di rantau Asia Tenggara.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya.
Pada 26 Oktober lalu, kedua-dua negara menandatangani perjanjian damai untuk menghentikan ketegangan di sempadan dalam satu majlis disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Anwar sempena Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, penganjuran mesyuarat khas itu susulan kepada persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.
Katanya, mesyuarat khas itu akan memberikan satu wadah kepada Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan anda kedua-dua negara anggota dan rantau ini secara keseluruhan.
“Mesyuarat Khas ini mencerminkan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN dan dalam hal itu, untuk membantu kedua-dua pihak supaya terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik.
“(Ia termasuk) kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil serta berkekalan terhadap sebarang pertikaian,” katanya. – UTUSAN










