PETALING JAYA: Rasuah dan maklumat bocor didakwa punca penyeludupan serta sindiket dadah antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai transit.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, keadaan itu turut didorong oleh kedudukan strategik Malaysia berhampiran kawasan segitiga emas iaitu melibatkan Thailand, Laos dan Myanmar selain terletak di laluan perdagangan serta perkapalan utama dunia.
Katanya, sindiket beroperasi secara sangat terancang dan sofistikated dengan menggunakan pelbagai kaedah melalui laluan darat, udara dan laut.
“Melalui laluan udara, sindiket menggunakan pembawa (carrier) dalam penerbangan komersial serta dron bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa. Bagi laluan laut pula, dadah disembunyikan dalam kapal berskala besar sebelum dipindahkan ke bot kecil atau ditinggalkan di laut untuk diambil semula oleh rangkaian penyeludup.
“Pada masa sama, sebahagian sindiket turut mengendalikan makmal dadah sendiri, termasuk penghasilan dadah sintetik serta aktiviti penanaman sama ada di dalam negara atau di negara destinasi seperti Australia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Haezreena Begum berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana tanpa usaha mengekang rasuah dan memutuskan aliran kewangan haram, tindakan penguatkuasaan semata-mata dilihat tidak mencukupi untuk melumpuhkan operasi sindiket dadah secara menyeluruh dan berterusan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara, Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, walaupun beberapa rampasan dadah berskala besar berjaya dilakukan kebelakangan ini, perkembangan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai petanda Malaysia baru muncul sebagai hab transit dadah antarabangsa.
Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia telah lama dieksploitasi oleh sindiket dadah antarabangsa sejak era 1970-an dan 1980-an, berikutan kedudukan strategiknya yang berhampiran dengan kawasan pengeluaran dadah utama di Asia Tenggara.
“Malaysia dilihat strategik oleh sindiket dadah antarabangsa bukan sahaja kerana lokasinya yang berhampiran dengan segitiga emas malah disebabkan faktor sempadan darat yang panjang dengan Thailand, iaitu sejauh 616.5 kilometer dari Perlis hingga Kelantan.
“Keadaan ini menyukarkan pemantauan sepenuhnya oleh pasukan keselamatan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), sekali gus membuka ruang kepada kewujudan laluan tikus dan laluan gajah yang sering dimanipulasi sindiket,” jelasnya.
Tambahnya, bentuk muka bumi di kawasan sempadan yang bergunung-ganang, hutan tebal serta sungai sempadan seperti Sungai Golok turut memudahkan aktiviti penyeludupan.
“Ketika musim kemarau, sungai tersebut menjadi cetek dan membolehkan penyeludup menyeberang dengan mudah sambil membawa bekalan dadah menggunakan guni yang diubah suai. Dadah yang dibawa masuk ke Malaysia lazimnya tidak terus dihantar ke pasaran akhir, sebaliknya disimpan sementara di beberapa lokasi sebelum dibungkus semula dan diedarkan.
“Bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru dikenal pasti sebagai antara pusat transit utama rangkaian pengedaran dadah di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Amer Fawwaz berkata, kerajaan disaran menambah mesin pengimbas di semua pelabuhan utama bagi mengesan dadah yang disorok dalam kontena atau kargo. – UTUSAN










