BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) akan memperjuangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, BN memberi peluang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu.
“SST ini kita beri peluang setakat ini. Ada baki dua tahun lagi. Tetapi, selepas PRU16, kita menuntut supaya GST iaitu sistem cukai yang terbaik, wajib dikembalikan untuk dilaksanakan di negara ini.
“Dalam hal ini, keadilan wajar diberikan tanpa mengira status ekonomi mereka,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti yang turut dihadiri oleh Presiden parti itu, Datuk Seri R. S. Thanenthiran di Seberang Jaya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, GST wajar dikembalikan bagi memastikan rakyat menerima serta merasai keadilan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat.
“Ini tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana lebih 155 negara di dunia telah menggunakan GST. Malaysia kini antara lapan negara yang masih mengekalkan SST,” kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan membuat keputusan berhubung kedudukan MIC sekiranya parti itu sendiri gagal untuk menentukan pendirian sama ada mahu kekal sebagai parti komponen BN atau sebaliknya.
Katanya, sehingga kini, tiada keputusan muktamad dibuat oleh MIC berhubung kedudukannya dalam gabungan itu meskipun terdapat salinan surat yang tersebar berhubung permohonan semula parti tersebut untuk diterima masuk ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Tindakan MIC itu katanya, menimbulkan persoalan mengenai isu kesetiaan memandangkan parti tersebut merupakan antara parti teras dan mempunyai sejarah hampir tujuh dekad dalam BN.
Mengenai MCA, beliau berkata, BN akan untuk terus mengutamakan MCA dan parti-parti komponen yang lain dalam gabungan parti itu.
“Saya ingin menyatakan bahawa BN tidak pernah untuk bekerjasama dengan DAP secara rasmi. Kerjasama BN hanyalah dengan PH dan DAP adalah parti komponen dalam PH bersama Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya. – UTUSAN










