Subsidi nelayan C2 dikhuatiri jadi tiket penyeludupan minyak

Pemberian subsidi kepada nelayan C2 dikhuatiri jadi tiket penyeludupan minyak

UTUSAN MALAYSIA 20 Disember 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian subsidi bahan api, perlindungan insurans dan jaminan keselamatan kepada nelayan kategori C2 dikhuatiri akan menjadi tiket laluan lebih luas kepada kegiatan penyeludupan minyak ke luar negara.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, pemberian subsidi kepada golongan tersebut amatlah berisiko untuk disalah guna.

Menurutnya, bot C2 kebanyakannya dimiliki syarikat besar dan tidak dikendalikan nelayan persendirian tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun syarikat tersebut dimiliki oleh warga tempatan namun, hampir 100 peratus pekerja bot C2 terdiri daripada warga asing.

“Pemberian subsidi bahan api kepada nelayan C2 disifatkan tidak sesuai kerana me­ningkatkan risiko penyeludupan minyak dan faedah subsidi rakyat turut dinikmati secara tidak langsung oleh pekerja warga asing.

“Subsidi itu dilihat menjadi tiket yang membuka ruang lebih luas kepada kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi dari dalam ke luar negara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tanpa subsidi bahan api, perlindungan insurans dan jaminan keselamatan kira-kira 500 nelayan C2 yang majoriti­nya bumiputera, menggadai nyawa demi memastikan bekalan makanan laut negara tidak terputus.

Sehubungan itu, nelayan C2, Tengku Adnan Tengku Husin meminta kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi diesel kepada nelayan C2 yang ketika ini cukup terbeban ekoran harga bahan bakar tersebut tidak menentu.

Selain itu, Mohd. Faizal turut menyatakan pemberian subsidi kepada C2 hanya menguntungkan syarikat besar, bukan nelayan kecil.

Katanya, kehadiran tekong tempatan buat masa sekarang menjadikan aktiviti penyeludupan lebih terkawal kerana wujud rasa tanggungjawab.

“Namun, jika subsidi tersebut diberikan kepada nelayan C2 yang majoriti para pekerja mereka adalah warga asing ianya hanya akan memudahkan jaringan penjualan minyak antara bot, termasuk di sesetangah kawasan perairan di Semenanjung Malaysia.

‘Pandangan saya, dasar sedia ada tanpa subsidi kepada nelayan C2 disifatkan langkah tepat bagi mengekang penyeludupan minyak dan perkara-perkara yang sukar kita tangani secara menyeluruh,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×