IPG beri lampu hijau Aiman terus wakili negara 

IPG beri lampu hijau Aiman terus wakili negara 

Muhammad Aiman Syafiq Mohd. Tariki membantu kontinjen Malaysia meraih pingat emas dalam acara Compound berpasukan pada Sukan SEA Thailand 2025. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kem memanah compound lelaki negara menarik nafas lega apabila pemanah muda, Aiman Syafiq Tariki kini lebih mudah menjalani latihan dan mewakili Malaysia selepas Institut Pendidikan Guru (IPG) memberi pelepasan serta sokongan rasmi kepadanya.

Perkembangan itu sekali gus meredakan kebimbangan mengenai masa depan Aiman bersama skuad kebangsaan susulan isu kesukaran mendapatkan pelepasan akademik yang sebelum ini didedahkan secara terbuka oleh kapten pasukan, Juwaidi Mazuki di Sukan SEA Thailand 2025.

Mengulas perkara tersebut, atlet berusia 19 tahun itu berkata, pihak IPG telah menghubunginya dan memberi jaminan sokongan berterusan untuk dia terus bersama pasukan negara.

“Tak ada isu pun sebenarnya, pihak IPG ada hubungi saya dan maklumkan mereka akan terus menyokong saya serta memberi pelepasan untuk bermain dengan Malaysia,” kata Aiman kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Menurutnya, cabaran sebelum ini bukan soal ketiadaan sokongan, sebaliknya kekangan kehadiran dan jadual latihan yang terhad akibat komitmen akademik.

“Bukan tak sokong, cuma pelepasan tu agak susah sebab kehadiran perlu cukup dan biasanya saya hanya dapat pelepasan tiga atau empat hari sebelum kejohanan,” jelasnya.

Isu Aiman menjadi perhatian selepas Juwaidi mendedahkan kemungkinan Sukan SEA 2025 menjadi penampilan terakhir pemanah muda itu akibat kesukaran mendapatkan pelepasan daripada IPG, meskipun prestasinya sudah hampir ke tahap elit senior.

Aiman bagaimanapun bersyukur apabila pihak institusi mengambil pendekatan positif dan memahami kepentingan tanggungjawabnya bersama skuad kebangsaan.

“Insya-Allah IPG akan terus sokong dan saya bersyukur sebab mereka ambil perkara ini secara positif,” katanya.

Untuk rekod, Aiman yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA menyifatkan kejohanan itu sebagai pencapaian terbaik dalam kariernya selepas meraih pingat emas pertama di pentas serantau bersama pasukan compound lelaki negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×