BANGKOK: Kejayaan membolot empat pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA Thailand 2025 menjadi pencetus semangat skuad berbasikal trek negara dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih getir tahun depan.
Ketua jurulatih negara, Harnizam Basri berkata, momentum kemenangan di Thailand ini ditagih memandangkan skuad negara bakal berdepan jadual yang padat dan kritikal, termasuk permulaan fasa kelayakan ke Sukan Olimpik.
Menurut Harnizam, tahun hadapan disifatkan sebagai ‘tahun besar’ buat kem berbasikal negara yang akan diisi dengan siri Kejohanan Piala Negara-Negara (Nations Cup), Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow.
“Tahun depan adalah tahun yang besar untuk kita. Selain Sukan Asia dan Sukan Komanwel, proses kelayakan Olimpik juga sudah bermula pada bulan Oktober tahun hadapan.
“Selain itu, pasukan negara akan menghadapi tiga siri Piala Dunia berturut-turut. Bermula di Perth (Australia), kemudian ke Hong Kong, dan siri ketiga akan berlangsung di laman sendiri di Nilai.
“Jadi, empat emas dan satu perak yang kita capai ini adalah permulaan yang baik untuk meningkatkan semangat pelumba-pelumba muda negara menghadapi tentangan lebih sengit selepas ini,” katanya.
Jelasnya, kemenangan di peringkat Asia Tenggara ini membuktikan program latihan dan strategi yang diatur bersama Institut Sukan Negara (ISN) membuahkan hasil, sekali gus memberi keyakinan lebih tinggi.
Dalam pada itu, Harnizam turut membayangkan kemungkinan berlaku perubahan gandingan dalam acara pecut berpasukan bagi menghadapi Sukan Asia, dengan kemasukan semula jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang.
“Kita akan tengok prestasi dari semasa ke semasa. Datuk Azizul kini sedang mempamerkan prestasi cemerlang di Australia dan New Zealand. Memandangkan Sukan Asia nanti mungkin menjadi penampilan terakhir beliau, kita perlu merangka strategi terbaik.
“Gandingan pelumba muda seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohamad Akmal Nazimi Jusena yang cemerlang di sini (Sukan SEA) bersama pelumba senior memberi kita lebih banyak pilihan untuk membentuk skuad lebih ampuh,” tambahnya.
Terdahulu, skuad negara menutup tirai Sukan SEA Thailand dengan cemerlang apabila trio berbasikal trek memecahkan rekod kebangsaan acara pecut berpasukan trek terbuka yang bertahan sejak 2014, selain membawa pulang empat butir emas. UTUSAN










