Rejab FI pelopor karya sastera Indera Kayangan

Rejab FI pelopor karya sastera Indera Kayangan

kumpulan cerpen iaitu Paparvine diterbitkan semula sebagai Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Allahyarham Rejab Ismail atau lebih dikenali sebagai Rejab FI sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan ranah penulisan karya sastera di Perlis.

Hal ini terbukti apabila nama Rejab pasti akan muncul atau disebut-sebut, apabila memperkatakan tentang penulis-penulis karya sastera negeri itu. Begitu sinonimnya nama Rejab dengan dunia penulisan karya sastera di negeri Indera Kayangan ini.

Rejab yang kembali ke Rahmatullah pada 30 September lalu, meninggalkan isteri Fatimah Taha dan tiga anak lelaki iaitu Ronifira, Rizal Irwandi dan Rustam Affendi.

Bakat penulisannya mulai menonjol ketika Rejab berusia 18 tahun, setelah karya pertamanya, cerpen bertajuk Kisah di Sinar Bulan tersiar dalam akhbar Utusan Filem dan Sports keluaran 30 Ogos 1960. Selepas itu, karya keduanya, sebuah puisi bertajuk Untuk Perwira pula tersiar dalam akhbar Warta Mingguan.

Penyiaran cerpen dan sajak karya sulung Rejab ini adalahsatu detik bersejarah yang menjadi titik tolak kepada Rejab untuk merealisasikan cita-citanya menjadi penulis karya sastera, sekali gus membolehkan karya sastera mulai bertapak di Perlis.

Sebagai penulis yang serba kekurangan ketika itu, Rejab berkarya dengan ‘menumpang’ menggunakan mesin taip milik Kelab Sinaran

Pemuda yang dianggotainya sebelum beliau mampu membeli sebuah mesin taip sendiri.

Sebelum kemunculan Rejab sebagai penulis karya kreatif, nama Haji Muhyiddin Dato’ Habib pernah dikaitkan sebagai seorang penulis.

Namun, Allahyarham Haji Muhyiddin yang merupakan seorang wartawan akhbar Warta Negara lebih tertumpu kepada penulisan berita dan rencana. Semasa hayatnya, Allahyarham Haji Muhyiddin pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Budaya 3P ketika Rejab mengetuai persatuan penulis tersebut.

Menyingkap penglibatan Rejab sebagai penulis karya kreatif, ternyata nama Rejab lebih dikenali, berbanding rakan-rakan seangkatan dengannya seperti Nahmar Jamil, Mokhtar AK, Fawana, Mastono dan beberapa penulis lagi.

Sebenarnya, minat Rejab terhadap penulisan karya kreatif bermula dengan hobinya yang mendalam terhadap karya sastera setelah tamat Darjah 7 dan beliau terpilih sebagai seorang guru. Rejab memenuhi hobinya itu dengan membaca buku-buku karya beberapa penulis dari Indonesia seperti Hamka, Abdul Moes, Sutan Takdir Alisyahbana, Pramoedya Ananta Toer dan lain-lain di perpustakaan sekolah tempatnya bertugas.

Setelah kemunculan karya penulis tempatan, Rejab beralih pula membaca karya penulis seperti SN A. Samad Said, SN Shahnon Ahmad,

Ahmad Boestamam, SN Usman Awang, SN Keris Mas dan beberapa penulis lain. Daripada pembacaan karya-karya penulis itulah Rejab menjadikannya sebagai panduan untuk menghasilkan karyanya sendiri.

Menariknya, Rejab bukan sekadar menghasilkan karya sastera pelbagai genre ketika itu malah Rejab bersama-sama beberapa rakan penulisnya, termasuk Mokhtar AK, Fawana dan Nahmar Jamil berpadu tenaga menubuhkan Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 1964. Rejab juga diberi kepercayaan oleh rakan-rakannya untuk mengetuai persatuan penulis pertama yang ditubuhkan itu.

Rejab yang menjadi Ketua Satu 3P selama lebih 30 tahun telah merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti terutama untuk mengangkat martabat sastera dan budaya di Perlis. Antaranya, menganjurkan pelbagai bengkel penulisan dan bicara karya di samping memberikan pelbagai pendedahan lain seperti lawatan ke negara jiran, Thailand dan Indonesia sebagai usaha untuk mendedahkan dan menambah ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh ahli ketika berkarya.

3P juga menganjurkan anugerah Tokoh Budaya 3P kepada tokoh-tokoh terpilih di Perlis, di samping anugerah khas kepada ahli-ahli yang aktif berkarya. Malah, setiap tahun sempena mesyuarat agung tahunan 3P, buku-buku baharu karya ahli turut dilancarkan.

Rejab juga mengambil inisiatif dengan meletakkan papan tanda yang memaparkan sajak karya penulis terpilih di tempat atau taman rekreasi seluruh negeri Perlis. Karya yang dihasilkan itu merupakan karya yang berkaitan tempat atau taman rekreasi tersebut.

Kemampuan ahli-ahli 3P untuk menghasilkan karya pastinya didorong oleh kegigihan Rejab sendiri yang begitu banyak menghasilkan karya, walaupun sibuk mengetuai dan menguruskan kelancaran perjalanan 3P yang diketuainya. Rejab juga dikagumi kerana kebolehannya menghasilkan hampir semua genre karya sastera seperti novel, cerpen, sajak, drama radio, drama televisyen, cerita rakyat dan rencana sastera.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan karya sastera ini Rejab menghasilkan hampir 140 karya berbentuk buku, di samping beratus-ratus puisi dan cerpen. Beberapa karyanya seperti novel remaja, cerpen dan sajak terpilih sebagai teks Komsas dan Kesusasteraan Melayu.

Terbaharu, novelnya, Sejambak Bakti (DBP,2015) terpilih sebagai teks Komsas untuk Tingkatan Satu bagi pelajar di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Johor. Beberapa puisi dan cerpennya juga diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Russia dan Mandarin.

Rejab juga pernah memenangi Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso Gapena (1985) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997 dan 1999). Pada 2005, Rejab terpilih sebagai Penulis Tamu DBP.

Kemampuan dan kejayaan Rejab dalam bidang penulisan ini melayakkannya menerima SEA Write Award 2016. Sehubungan itu, salah sebuah karyanya, kumpulan cerpen iaitu Paparverine diterbitkan semula sebagai Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award oleh

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Rejab yang pernah menganggotai Ahli Jawatankuasa Gapena selama dua penggal (2000-2004) ini turut mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak. Antaranya, Tokoh Penulis Perlis (2001), Tokoh Budaya GAPENA 2008, Tokoh Guru Perlis 2011 dan Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis 2013.

Pastinya khalayak, peminat dan pecinta sastera amat mengharapkan agar usaha gigih Rejab sebagai pelopor karya sastera di Perlis ini mampu dimanfaatkan dan dilestarikan dengan sebaiknya. Sehubungan itu, beberapa nama penulis yang sedang mewarnai dunia sastera

Perlis seperti Ridzuan Kamis, Solihin Osman, Shahkang dan Kamarudin Onn (sekadar beberapa nama), di samping penulis seangkatan dengan Rejab seperti Mokhtar AK, Fawana, Nazel Hashim Mohamad dan Sharif Shaari (sekadar beberapa nama) amatlah dihargai.

Malah, kehadiran lebih ramai penulis generasi baharu sebagai pelapis juga amat diharapkan agar ranah sastera Perlis sentiasa segar dan kekal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×