Pengalaman bermakna 28 guru naik traktor ke sekolah akibat banjir

Pengalaman bermakna 28 guru naik traktor ke sekolah akibat banjir

Para guru ceria dan gembira ketika menaiki traktor pengangkut (tram) ke Sekolah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Tekam di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Banjir di kawasan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SKPPPTR) Tekam di sini memberi pengalaman cukup bermakna buat 28 guru sekolah kebangsaan di situ apabila mereka dibawa menaiki traktor untuk ke sekolah.

Seawal pukul 7 pagi, air dari anak sungai berhampiran melimpah hingga satu meter, menenggelamkan laluan utama dan memaksa kenderaan ringan diparkir di luar kawasan.

Guru Besar, Zainordin Mohamed Yatim, bersama guru-guru dari Jerantut, Felda Kota Gelanggi, Felda Sungai Tekam, Jengka Lapan dan Pulau Tawar terkandas di pintu masuk.

Zainordin berkata, kende­raan ringan tidak boleh masuk ke sekolah, hanya pacuan empat roda dan kenderaan berat mampu meredah banjir sejauh kira-kira 200 meter.

“Tidak lama kemudian, pihak pengurusan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tampil membantu dengan menyediakan sebuah traktor lengkap dengan tram berbumbung bagi membawa guru dan kakitangan yang terperangkap.

“Perjalanan sejauh 2.5 kilometer mengambil masa hampir 25 minit sebelum kami tiba di sekolah. Sementara menunggu, guru yang tinggal di kuarters bersama kakitangan Anggota Kumpulan Pelaksana sempat mengendalikan bacaan Yasin mingguan bersama 389 murid,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Jusni Yusof, yang tiba lebih awal dari Felda Sungai Tekam Utara berkata, beberapa guru wanita kelihatan cemas kerana tidak dapat masuk dengan kenderaan mereka.

“Namun sebaik menaiki traktor, suasana bertukar ceria. Guru-guru dan murid yang turut serta tidak henti berbual sambil merakam gambar kenangan meredah banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×