AKPS perlu lagi lebih 6,000 pegawai, anggota

AKPS perlu lagi lebih 6,000 pegawai, anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memerlukan lebih 6,000 lagi penambahan pegawai dan anggota bagi menampung tugas serta pengoperasian di lapangan dan pintu masuk negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 13,721 perjawatan keseluruhan bagi mengawasi seluruh pintu masuk negara yang diwartakan.

Katanya, AKPS ketika ini hanya mempunyai seramai 6,226 pegawai dan anggota iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah perjawatan sepertimana yang disyorkan oleh Pasukan Nukleus Agensi Sempadan Tunggal (SBA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kekosongan tersebut perlu diisi segera bagi memperkukuh peranan AKPS sebagai agensi tunggal yang menggabungkan enam jabatan dalam mengawal pintu masuk sempadan negara di laut, darat dan udara khususnya menjelang Januari 2026 apabila mengambil alih lebih 120 pintu masuk.

“Pada masa ini, AKPS mempunyai lebih 6,000 anggota bertugas di 22 pintu masuk dan tahun depan bakal mengambil alih lebih 120 pintu masuk. Oleh itu, kita memerlukan lebih 50 peratus pengisian jawatan bagi memastikan lebih efisien dalam mengekang sebarang elemen pencerobohan.

“Sekiranya perjawatan ini tidak ditambah, berkemungkinan agak sukar merealisasikan hasrat kerajaan yang pastinya mahukan keselamatan sempadan dan pintu masuk negara terjamin demi kepentingan rakyat Malaysia,” katanya dalam temu bual khas di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, baru-baru ini. 

Mohd. Shuhaily berkata, kerajaan menerusi Ke­tua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan memberikan sokongan penuh serta sedang berusaha penambahan anggota kerana ia merupakan agenda utama AKPS tahun hadapan.

Katanya, cabaran lain AKPS adalah sebahagian besar anggota datang daripada enam agensi lain iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Sebenarnya, pegawai dan anggota agensi ini perlu menjalankan tugas hakiki mereka. Contohnya, pegawai Jabatan Imigresen perlu melakukan pemeriksaan terhadap semua individu masuk atau keluar negara dan pada masa sama melaksanakan tugas AKPS.

“Jadi apa yang mereka berikan kepada AKPS hanyalah baki 50 peratus daripada kapasiti kerja selepas melaksanakan tugas hakiki,” katanya.

Beliau berkata, sumber manusia masih menjadi elemen kritikal dalam operasi kawalan sempadan walaupun pengoperasian AKPS dibantu dengan penggunaan teknologi terma­suk mesin pengimbas

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, AKPS merekodkan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM82.1 juta membabitkan RM20.2 juta (205,154 gram) bagi rampasan dadah, RM1.4 juta melibatkan rampasan barangan kesihatan dan bahan kimia serta rampasan bernilai hampir RM60 juta oleh MAQIS.

“AKPS mengambil alih peranan pemeriksaan kastam secara rasmi pada 1 Oktober lalu dengan nilai rampasan direkodkan sebanyak RM222,519, manakala rampasan melibatkan barangan bersubsidi seperti minyak diesel dan kenderaan bermotor oleh JPJ bernilai RM183,590,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×