KUALA LUMPUR: Kekurangan syarikat tersenarai dengan modal pasaran melebihi AS$10 bilion dikenal pasti antara punca utama kelembapan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sepanjang hampir sedekad, sekali gus menjejaskan keupayaan Bursa Malaysia menarik pelabur asing.
Ini secara tidak langsung menyukarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih tinggi seperti 10 tahun lalu memandangkan portfolio pelaburan syarikat pengurusan dana terbesar negara itu lebih kepada pasaran ekuiti awam domestik.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, KLCI mencapai kemuncak sekitar tahun 2014 hingga 2015 sebelum bergerak mendatar sehingga kini, berbeza dengan era 90-an apabila indeks itu merekodkan pertumbuhan purata dua angka setiap tahun.
Ujarnya, kejatuhan pegangan asing kepada sekitar 18.7 peratus mencerminkan tahap keyakinan pelabur luar terhadap prestasi korporat syarikat tempatan yang masih belum memuaskan.
“Pelabur asing memberi tumpuan kepada saiz dan kualiti syarikat. Tanpa syarikat dengan modal pasaran besar yang mencatat pertumbuhan pendapatan dan keuntungan kukuh, pasaran tempatan sukar bersaing dengan bursa serantau.
“Kita memerlukan syarikat yang lebih baik untuk disenaraikan dalam pasaran saham tempatan bagi menarik minat pelabur asing.
“Aliran keluar dana asing bukan faktor utama, sebaliknya prestasi pendapatan yang lemah, pulangan atas ekuiti (ROE) rendah dan dasar pulangan pemegang saham yang tidak kompetitif menjadi kekangan utama kepada kebangkitan KLCI,” katanya dalam sesi taklimat bersama editor sempena pengumuman dividen ASB, di sini semalam.
Menurutnya, dalam tempoh itu, institusi tempatan terus menyalurkan pelaburan berskala besar ke pasaran domestik bagi menampan tekanan jualan asing.
“Sokongan institusi tempatan membantu dari segi kecairan, tetapi pemulihan pasaran memerlukan syarikat sendiri meningkatkan prestasi.
“Antara langkah yang boleh dilakukan termasuk penetapan sasaran pulangan pemegang saham, dasar dividen yang lebih jelas serta pelaksanaan pembelian balik saham bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan.
“Selain itu, usaha memperkukuh ketelusan dan penglibatan pemegang saham adalah perlu, termasuk pendedahan awam terhadap maklum balas syarikat dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) serta program libat urus berstruktur bagi meningkatkan prestasi korporat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan PNB, Hanizan Hood berkata, pengurus dana dan pelabur institusi terikat dengan syarat yang ketat, khususnya dari segi saiz permodalan pasaran dan tahap kecairan saham sebelum sesuatu pelaburan boleh dipertimbangkan.
“Bagi kebanyakan pelabur institusi global, tapisan awal biasanya bermula dengan syarikat yang mempunyai permodalan pasaran sekurang-kurangnya AS$10 bilion. Di Bursa Malaysia, bilangan syarikat yang memenuhi kriteria ini adalah kurang daripada 10.
“Keadaan ini menyebabkan Malaysia sukar bersaing dengan pasaran Asia Timur seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun yang menawarkan lebih banyak syarikat berskala besar yang lebih ‘menarik’, khususnya dalam sektor teknologi dan rantaian nilai semikonduktor global.
Menurutnya, pasaran seperti Taiwan dan Korea Selatan mendapat limpahan minat pelabur hasil kehadiran syarikat teknologi gergasi, termasuk yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan pembekal kepada syarikat global seperti NVIDIA.
“Malaysia memang mempunyai beberapa syarikat berpotensi tinggi, termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang. Namun, permodalan pasaran syarikat-syarikat ini masih terlalu kecil bagi membolehkan mereka melabur,” jelasnya.
Mengulas prospek pasaran, beliau berkata, Bursa Malaysia berpotensi mencatat prestasi lebih baik menjelang 2026, disokong oleh perbelanjaan domestik yang stabil serta peningkatan sumbangan sektor berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Namun, katanya, potensi itu hanya boleh direalisasikan sekiranya syarikat dengan permodalan pasaran besar memainkan peranan sebagai pemacu utama pertumbuhan pasaran.
“Tanpa peningkatan ketara dalam prestasi syarikat besar, kita akan terus berdepan cabaran dalam usaha menarik pelabur asing seterusnya memulihkan pasaran saham tempatan,” katanya. – UTUSAN










