KUALA LUMPUR: Blogger kontroversi, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan perniagaannya untuk menerima sumbangan bagi membayar ganti rugi kes saman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, yang dituduh selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri selaku individu yang bertanggungjawab ke atas Invoke Solutions gagal mengemas kini maklumat syarikat apabila perniagaan tersebut digunakan bagi tujuan selain yang didaftarkan iaitu menerima sumbangan orang awam untuk membantunya membayar ganti rugi kes saman 23NCVC-37-03/2013.
Invoke Solutions sebelum ini didaftarkan sebagai perniagaan barangan runcit dan pengurusan majlis.
Berdasarkan semakan, kes saman tersebut merupakan kes saman oleh Anwar (pada ketika itu masih belum menjadi Perdana Menteri) terhadap Wan Muhammad Azri yang didapati telah mengeluarkan kenyataan fitnah mengaitkan Presiden PKR itu dengan aktiviti tidak bermoral.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 24 Oktober dan 30 November 2017 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Kaedah 17(1)(b), Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.
OKS boleh dihukum mengikut Seksyen 12A, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan pengadu kes berkenaan ialah Mohd. Rafizi Ramli, pengasas syarikat data Invoke Solutions Sdn. Bhd.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anas Mahadzir manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam bela, Muhammad Amirul Arrasyid.
Terdahulu, Anas mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Amirul memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan alasan OKS bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Anak guam saya juga perlu menyara keluarga dan mempunyai seorang anak bongsu yang menghidap autisme. Segala kos rawatan anak ditanggung sepenuhnya oleh OKS.
“Selain itu, OKS mempunyai beberapa kes lain di mahkamah dan tidak pernah gagal hadir. Dia sentiasa memberi kerjasama penuh serta melaporkan diri ke balai polis setiap bulan tanpa gagal,” kata peguam itu.
Mahkamah menetapkan wang jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Januari 2026 bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










