PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sebagai Menteri Ekonomi langkah penting untuk mengurangkan ketidakpastian dalam kerajaan.
Penganalisis ekonomi iCATS University College, Kuching, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pelantikan kedua-dua mereka memberikan keyakinan kepada pelabur korporat dan asing kerana ia menamatkan tempoh “perebutan portfolio”.
Menurutnya, pemerhati industri tempatan memberikan respon positif terhadap kehadiran Johari dalam MITI.
“Beliau yang mempunyai latar belakang korporat yang kukuh dan pengalaman pentadbiran dianggap sesuai untuk menangani isu pelaburan, perdagangan dan hubungan perniagaan luar negara terutama dalam konteks ketidakpastian global.
“Kepimpinan yang jelas dijangka dibawa oleh Johari di MITI, berpotensi mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kesinambungan dasar perdagangan dan pelaburan asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 jawatan menteri dan timbalan menteri berlaku perubahan termasuk lantikan serta penukaran portfolio dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Abu Sofian berkata, pelantikan Akmal Nasrullah pula dilihat membawa pendekatan pembaharuan namun keberkesanan dasar ekonomi di bawah kepemimpinannya bergantung kepada kemampuan beliau menyesuaikan strategi dengan realiti ekonomi yang dinamik.
“Pelantikan beliau berpotensi menyuntik pendekatan baru ke dalam perancangan ekonomi terutamanya isu kos sara hidup, data dasar berasaskan bukti, dan pertumbuhan inklusif.
“Walau bagaimanapun, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa pengalaman langsung beliau terhadap dasar ekonomi keseluruhan masih perlu dibuktikan dalam tempoh terdekat.
“Kejayaan kepemimpinannya akan bergantung kepada kebolehan bekerja rapat dengan agensi kerajaan serta pemegang kepentingan swasta,” katanya. – UTUSAN











