KANGAR: Kelaziman cuti hujung minggu dan cuti sekolah menyaksikan puluhan ribu rakyat negara ini ‘serbu’ ke negara jiran khususnya untuk bercuti di Hat Yai.
Bagaimanapun, banjir besar melanda selatan Thailand baru-baru ini yang menyaksikan lokasi pelancongan popular itu berdepan kemusnahan cukup dahsyat dengan nilai kerosakan mencecah sehingga RM1.3 bilion.
Tinjauan Utusan Malaysia di Sadao, Thailand yang menjadi antara pintu masuk serta laluan untuk ke Hat Yai mendapati suasana lengang, tidak banyak kenderaan atau pelancong Malaysia masuk ke sana meskipun musim cuti sekolah bakal bermula.
Situasi sama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar apabila tidak banyak kenderaan dari Malaysia ke Thailand berbanding kebiasaan penuh sesak setiap kali hujung minggu.
Sementara di ICQS Wang Kelian yang laluan sempadan itu terjejas dengan banjir baru-baru ini hanya dibuka untuk penduduk Kampung Wang Kelian yang ada urusan kerja atau melawat saudara-mara di Satun, Thailand.
Ketika ini, proses pembersihan pasca banjir masih giat dijalankan di Hat Yai dengan kebanyakan lokasi tumpuan pelancong dan kedai-kedai makan masih ditutup.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, rakyat Malaysia yang ingin bercuti ke Hat Yai dinasihatkan menangguhkan perjalanan sehingga proses pembersihan selesai dan premis makanan serta pusat tumpuan pelancong kembali dibuka.
“Penangguhan perjalanan itu perlu selepas mengambil kira keadaan bandar Hat Yai yang masih terjejas kesan banjir dan hujan lebat yang dijangka turun sehingga 20 Disember ini. Ketika ini, kebanyakan premis makan dan empat tumpuan pelancong masih tutup dengan keadaan masih belum pulih sepenuhnya.
“Penyakit-penyakit berkaitan dengan pasca banjir juga sedang menular dan ini menyebabkan pusat-pusat perubatan di Hatyai amat sibuk dan keupayaan untuk menerima pesakit baru amat sedikit,” katanya ketika mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meninjau beberapa kawasan di Hat Yai semalam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, industri pelancongan Thailand khususnya di Hatyai dijangka pulih pada hujung Januari depan selepas sebahagian besar kawasan itu ditenggelami banjir baru-baru ini.
Katanya, kehadiran pelancong dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini juga dijangka merosot memandangkan kebanyakan infrastruktur pelancongan mengalami kerosakan dan mengambil masa untuk baik pulih.
“Kita berharap industri pelancongan Thailand khususnya di kawasan terjejas banjir ini akan kembali pulih secepat mungkin bagi membolehkan pelancong kembali datang. Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan masih giat dilakukan,” katanya. – UTUSAN











