Limbungan kapal PNK sokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030

Limbungan kapal PNK sokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030

MOHAMAD Sabu (tengah) meninjau pekerja limbungan menyelenggara sebuah bot yang menggunakan perkhidmatan Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah di Teluk Layang, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Limbungan Kapal Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah merupakan projek sosio-ekonomi yang penting dalam menjana pendapatan dan pembangunan sosial nelayan setempat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun negara terkenal dengan limbungan kapal besar, infrastruktur di peringkat akar umbi seperti limbungan PNK Kuala Kedah merupakan tulang belakang yang menyokong sebahagian besar kapal ringan negara. 

Katanya, limbungan tersebut adalah usaha kerajaan di peringkat akar umbi bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat dan memodenkan industri.

“Pemodenan limbungan perlu seiring dengan pembangunan tenaga kerja yang bertauliah, kita tidak boleh lagi mengharapkan kemahiran pembaikan bot hanya bersifat warisan atau turun-temurun dari lingkungan keluarga yang sama sahaja. 

“Usaha yang sama perlu dilaksanakan untuk melahirkan modal insan yang mahir dan bertauliah dalam pembaikan kapal,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah di Teluk Layang, hari ini.

Projek berkeluasan 0.9 hektar yang dibangunkan dengan kos RM10.7 juta itu siap tahun lalu yang setakat ini menyelenggara dan membaiki lebih 100 buah bot nelayan jenis A, B, C dan C2 serta kapal penguatkuasaan.

Limbungan itu menjana pendapatan melalui kutipan caj yang dikenakan terhadap bot-bot yang menggunakan perkhidmatan antaranya Caj Levi Pekerja; Caj Naik Turun Bot; Caj Cuci Bot; Caj Utiliti; Caj Pembuangan Sampah dan Caj Membawa Peralatan Masuk.

Mohamad berkata, Industri Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR) merupakan sektor strategik yang diiktiraf di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Kata beliau, limbungan itu adalah contoh terbaik bagaimana persatuan nelayan mengambil peranan aktif dalam rantaian nilai SBSR dengan menyediakan servis up-slip, down-slip, pembaikan dan penyelenggaraan untuk bot nelayan yang bukan sahaja di Kedah tetapi hingga ke Perlis dan Pulau Pinang. 

“Ini membuktikan Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah bukan lagi sekadar bengkel tetapi Pusat Servis Maritim Komuniti di Wilayah Utara,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, jumlah pendaratan sehingga Oktober lalu mencatatkan sebanyak 115,000 metrik tan bersamaan dengan RM473 juta dengan rekod kuantiti pendaratan ikan di Kuala Kedah adalah sebanyak 1,038 metrik tan bersamaan dengan RM6.2 juta. 

“Kementerian yakin PNK Kuala Kedah dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada industri perikanan negara kerana setiap pembaikan dan penyelenggaraan yang berlaku di limbungan ini adalah sumbangan langsung kepada agenda Keterjaminan Makanan Negara.

“Kapal yang cepat dibaiki dan selamat digunakan bermaksud nelayan dapat kembali ke laut lebih cepat, sekali gus memastikan bekalan makanan laut di pasar dan meja kita tidak terganggu. Perkhidmatan yang cekap di sini adalah kunci untuk mengurangkan masa henti operasi (downtime) bot dan kemampanan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×