Kerajaan tambah baik kapasiti sistem pembayaran SARA

Kerajaan tambah baik kapasiti sistem pembayaran SARA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kapasiti sistem pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bakal ditambah baik dan mencecah 10,000 transaksi seminit bagi memudahkan penerima bantuan kerajaan membuat pembelian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kapasiti sistem pembayaran sudah melalui penambahbaikan yang ketara untuk menangani lonjakan transaksi susulan pelaksanaan Penghargaan SARA dan bantuan SARA bulanan.

Berdasarkan prestasi semasa pelaksanaan SARA, kata beliau, transaksi seminit adalah 7,000 berbanding 2,700 transaksi seminit sebelum ini dan akan mencecah 10,000 transaksi seminit selepas penambahbaikan ke atas sistem pada akhir tahun ini.

“Pada ketika ini, purata transaksi seminit adalah 1,000 mengambil kira kestabilan sistem dan pembelian yang dibuat oleh penerima,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai langkah jangka panjang Kementerian Kewangan (MOF) dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat dijalankan tanpa isu teknikal.

Mengulas mengenai isu penyalahgunaan MyKad, Amir Hamzah berkata, MOF bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengemas kini senarai penerima layak dari semasa ke semasa dalam memastikan MyKad penerima yang digunakan adalah tepat dan terkini.

“Dalam masa yang sama, adalah diingatkan kepada semua rakyat Malaysia agar menjaga keselamatan MyKad masing-masing agar tidak berlaku sebarang isu yang berbangkit,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) direkodkan dengan jumlah kelayakan untuk setahun sebanyak RM5 bilion.

“Sehingga 17 Disember lalu, hampir 5.6 juta penerima SARA telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM4.59 bilion.

“Bagi Penghargaan SARA one-off kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa pula telah menyaksikan lebih 20 juta rakyat telah berbelanja atau 92 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion,” katanya.

Tambahnya, kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan dalam mendepani cabaran kos sara hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×