PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalami kerugian mencecah RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Menurut Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar, jumlah kes kecurian pada tahun ini meningkat kepada 69 kes berbanding 41 kes tahun lalu iaitu kenaikan sebanyak 68 peratus.
Katanya, Prasarana memandang serius insiden kecurian kabel yang kerap menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.
“Trend peningkatan kes juga semakin ketara. Peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel khususnya tembaga yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket.
“Namun, kesan sebenar isu ini bukan sekadar kerugian kewangan semata-mata, malah turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna pengangkutan awam yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idzqandar berkata, setiap insiden kecurian bukan sahaja menyebabkan operasi perkhidmatan terjejas kerana tren tidak dapat beroperasi seperti biasa, malah turut mengganggu perjalanan jutaan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan rel setiap hari.
Sehubungan itu, katanya, kerja-kerja pembaikan serta penggantian kabel perlu dilaksanakan dengan segera bagi memulihkan sistem kritikal dan memastikan perkhidmatan dapat kembali berjalan secara normal.
“Isu kecurian kabel yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja melibatkan operasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana, tetapi turut menjejaskan operator rel lain serta syarikat telekomunikasi.
“Ia jelas menunjukkan bahawa jenayah ini bersifat berulang, terancang dan memberi implikasi luas terhadap infrastruktur kritikal negara,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Prasarana telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan secara berterusan bermula dengan penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemasangan kemera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi serta pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal di lokasi-lokasi tertentu.
“Namun realitinya, dengan jajaran rel yang melebihi 200 kilometer, kami tidak boleh menanganinya secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh.
“Walaupun semua langkah mitigasi ini telah dan sedang dilaksanakan, kejadian kecurian masih berterusan, malah terdapat kes melibatkan individu sama berulang kali,” katanya.
Dalam pada itu, Prasarana menegaskan bahawa selagi sindiket jenayah itu masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih keuntungan yang besar, selagi itulah kes kecurian kabel akan terus berulang.
Menurutnya, keadaan itu menuntut pendekatan nasional yang lebih tegas dan bersepadu termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah berulang.
Oleh itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan termasukagensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk berganding bahu dalam menangani isu berkenaan secara kolektif.
“Isu kecurian kabel ini bukan sekadar melibatkan kerosakan atau kehilangan aset fizikal, tetapi memberi kesan langsung terhadap keselamatan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan dan hak jutaan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari.
“Menanganinya memerlukan komitmen dan tindakan bersama semua pihak. Keselamatan, kebolehpercayaan dan tahap kepercayaan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam bergantung kepada keupayaan membanteras jenayah ini secara kolektif dan berkesa.
“Orang ramai turut digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan khususnya di kawasan jajaran rel kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil.” katanya. – UTUSAN










