KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar anggota Jemaah Menteri sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan integriti dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Seri Paduka bertitah, keutamaan kerajaan perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Titah Sultan Ibrahim, menteri dan timbalan menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan cekap dan berkesan.
“Menteri dan timbalan menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Seri Paduka berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia dan Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan baharu dilantik di Istana Negara.
Istiadat bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta Majlis penandatangan dokumen rasmi pelantikan dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Kabinet baharu Kerajaan Madani merupakan penerus
Menurutnya, kehendak rakyat tidak boleh sekadar dizahirkan melalui ucapan atau kenyataan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan segera.
Anwar berkata, Kabinet dituntut membuat keputusan berani dan pantas bagi menangani isu-isu rakyat, selari dengan harapan tinggi yang diletakkan terhadap pentadbiran kerajaan.
“Setiap anggota Kabinet perlu memahami aspirasi dan nurani semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam Facebook beliau, semalam.
Menurutnya, kejayaan kerajaan bergantung kepada keupayaan menterjemah mandat rakyat kepada pelaksanaan dasar yang berkesan dan berintegriti.
Anwar turut mengingatkan semua menteri dan timbalan menteri supaya bekerja dengan penuh disiplin serta mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan.
Beliau berkata, Kabinet Madani mesti memastikan setiap dasar dilaksanakan tanpa lengah dan benar-benar dirasai rakyat, selaras dengan amanah yang telah diberikan. – UTUSAN










