Dua tahun tunggu butir emas

Dua tahun tunggu butir emas

Ummi Mashitah bergelar juara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan dalam aksi final Kelas C Puteri di Arena Impact, Muang Thong Thani, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pesilat wanita negara, Ummi Mashitah Hassan hanya memerlukan tempoh dua tahun untuk menguasai ‘dunia’ persilatan sebelum membutirkan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.

Gadis berusia 22 tahun itu bergelar juara Asia Tenggara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan dengan mata 104-88 dalam aksi final Kelas C Puteri (55-60kg) di Arena Impact, Muang Thong Thani.

Ummi yang berasal dari Miri, Sarawak mengakui dia bermula dari ‘kosong’ dan hanya menyertai kelab silat di kampung halamannya secara suka-suka sebelum bakatnya digilap sehingga memenangi emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

“Dua tahun lepas saya tidak tahu apa-apa pasal silat, asas pun tiada kerana saya hanya main futsal. Saya cuba nasib masuk kelab silat gayong ghaib di kampung, dari situ baru ada pemilihan wakil Sarawak dan seterusnya ke skuad kebangsaan.

“Alhamdulillah, saya percaya dengan rezeki Allah dan usaha keras dalam latihan. Walaupun tempoh singkat, saya berjaya belajar teknik dalam dunia persilatan dengan cepat,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Di sebalik kejayaan gemilang itu, Ummi mendedahkan dia berdepan detik cemas apabila diserang influenza dua hari sebelum acara bermula, menyebabkan berat badannya susut mendadak di bawah had kategori pertandingan.

Situasi perit itu memaksanya ‘bekerja keras’ menaikkan berat badan dengan meminum air tiga botol setiap pagi demi memastikan dia layak bertanding.

“Kesan demam itu berat saya turun mendadak 5kg (sehingga 50-53kg), sedangkan saya perlu berada dalam Kelas C (55-60kg).

“Setiap pagi sebelum sesi timbang berat badan pada pukul 6.30 pagi, saya terpaksa minum tiga botol air dan makan semata-mata untuk menaikkan berat badan agar melepasi syarat kelayakan,” katanya.

Ummi turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada jurulatih kebangsaan yang juga bekas juara dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang menjadi watak penting membakar semangatnya untuk mencipta kejutan di gelanggang lawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×