Recurve berpasukan wanita akur raih perak

Recurve berpasukan wanita akur raih perak

Skuad memanah berpasukan recurve wanita negara meraih pingat perak selepas tewas 3-5 kepada Indonesia dalam aksi final di Bangkok, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad memanah berpasukan recurve wanita negara meraih pingat perak selepas tewas 3-5 kepada Indonesia dalam aksi final Sukan SEA Thailand 2025, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Skuad recurve berpasukan wanita dianggotai Joey Xing Lei Tan, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini terpaksa akur dengan kehebatan trio Indonesia yang lebih berpengalaman.

Menurut Ariana, beliau hadir ke temasya ini dengan harapan yang tinggi, seiring statusnya sebagai pemanah Olimpik, sekali gus meletakkan tuntutan mental yang besar ke atas dirinya sepanjang kejohanan.

“Saya datang dengan banyak harapan yang cukup tinggi selaku pemanah Olimpik dan sudah tentu tekanan itu ada. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami apabila berjaya meraih pingat perak.

“Berdasarkan persiapan untuk ke Sukan SEA, saya rasa cukup. Tetapi masih perlu lebih banyak persiapan dalam soal mental agar kita mampu memberi saingan yang kompetitif,” katanya selepas aksi final.

Ariana turut melihat pencapaian pingat perak sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan pasukan, bagi menentang pasukan yang lebih konsisten dan berpengalaman.

Ditanya mengenai perbezaan penampilan di Sukan Olimpik dan Sukan SEA, Ariana menyifatkan aspek persiapan mental sebagai faktor paling menentukan prestasi atlet di mana-mana temasya.

“Tidak banyak perbezaan antara Olimpik dan Sukan SEA. Cuma yang paling memainkan peranan adalah persiapan mental. Kedua-duanya adalah temasya besar, namun Sukan SEA lebih kecil skalanya dan suasananya lebih santai berbanding Olimpik,” jelasnya.

Beliau turut mengakui pengalaman layak dan beraksi di Olimpik sebelum ini banyak membantu dari segi kematangan, selain memberi gambaran awal tentang tekanan sebenar di kejohanan bertaraf tinggi.

“Saya bersyukur kerana pernah layak ke Olimpik. Ia membantu saya memahami bagaimana suasana temasya besar dan bagaimana untuk mengawal diri dalam situasi bertekanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, skuad memanah berpasukan recurve lelaki berpuas hati meraih pingat gangsa selepas menewaskan Thailand dengan keputusan 5-3 dalam aksi penentuan tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN