PETALING JAYA: UMNO mungkin akan mengemukakan usul tergempar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bagi membincangkan pengeluaran MIC daripada Barisan Nasional (BN) susulan pertelagahan yang berlaku antara kedua-dua parti itu.
Usul berkenaan dijangka dibawa pada PAU yang dijadual berlangsung pada Januari tahun hadapan, berikutan isu tersebut dianggap sebagai perkara baharu yang timbul selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian selesai diadakan.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, kemungkinan usul tergempar itu dibentangkan adalah tinggi kerana isu MIC tidak pernah dibangkitkan di peringkat bahagian sebelum ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, sekiranya usul berkenaan dibawa ke PAU, ia dijangka menerima reaksi yang keras dan segera daripada perwakilan.
“Saya percaya kemungkinan akan ada satu usul tergempar berkaitan MIC. Perkara ini adalah isu baharu kerana mesyuarat bahagian sudah lama berlalu dan PAU pula ditangguhkan sebelum ini. Oleh sebab ia isu yang baru timbul, maka tidak ada usul dibawa di peringkat bahagian ketika mesyuarat agung lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Zaidi berkata, perkembangan berkaitan MIC kini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pimpinan UMNO, sekali gus menuntut satu keputusan yang jelas dan tegas daripada parti.
Katanya, MIC tidak seharusnya ‘membuli’ UMNO dengan tindakannya, termasuk permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang memberi gambaran parti itu sudah keluar daripada BN.
“Kalau nak keluar, silakan. Sebenarnya mereka sudah keluar. Permohonan untuk masuk PN itu menunjukkan mereka mahu masuk semula ke blok lain. Masalahnya, bila mereka keluar, kita pun tidak tahu. Kita jadi keliru sama ada mereka ini kawan atau musuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, BN tidak akan mengalami kerugian sekiranya MIC mengambil keputusan keluar daripada gabungan tersebut.
Katanya, BN masih mempunyai alternatif lain melalui kelompok Friends of BN yang diwakili pemimpin berketurunan India, yang bersedia bersama-sama memperkukuh gabungan. – UTUSAN










