ALOR SETAR: Impak pelancongan Hat Yai, Thailand yang masih lumpuh ekoran banjir besar bulan lalu dijangka beralih ke Pulau Langkawi yang merupakan destinasi terunggul negara sempena cuti sekolah minggu depan.
Perkembangan itu berikutan sebanyak 74,000 tiket feri penumpang telah terjual bagi pelayaran sepanjang 24 hari cuti penggal persekolahan bermula 19 Disember hingga 11 Januari depan.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures, Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah itu merangkumi 36,000 keping tiket bagi perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
“Manakala baki 38,000 tiket yang sudah terjual pula untuk trip dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Kita jangka trend pembelian akan meningkat dalam beberapa hari lagi kerana ketika ini pun secara purata 6,000 tiket ditempah setiap hari untuk tempoh itu.
“Ada kebarangkalian peningkatan pembelian tiket ke Langkawi dan sebaliknya melalui Kuala Kedah dan Kuala Perlis disumbang oleh faktor Hat Yai, selain ia juga kerana musim cuti sekolah,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Pada 20 November lalu, lokasi tumpuan rakyat Malaysia melancong di Hat Yai dilanda banjir besar sehingga menyebabkan kira-kira 4,000 rakyat negara ini terkandas selama seminggu.
Kawasan Wilayah Selatan Thailand yang masih dalam fasa pembersihan dan pembaikan terutama sektor perhotelan dikatakan akan mengalih tumpuan rakyat tempatan menghabiskan cuti sekolah dalam negara termasuk Langkawi.
Sementara itu, Norhafiz berkata, penjualan tiket yang paling laris setakat ini adalah sempena cuti Hari Krismas yang jatuh dalam tempoh cuti persekolahan itu.
Katanya, kesemua 17 buah feri akan beroperasi bagi menawarkan kira-kira 480 perjalanan sepanjang tempoh itu merangkumi laluan Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis.
“Sebanyak 100 perjalanan tambahan disediakan setakat ini berdasarkan trend pembelian tiket yang kita pantau dan akan menambah lain sekiranya diperlukan.
“Buat masa ini tiada perjalanan waktu malam ditawarkan kerana faktor cuaca dan jadual air pasang surut terutama di Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” katanya.-UTUSAN











