PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Kabinet baharu memastikan kerajaan terus berfungsi dengan berkesan dalam menangani cabaran semasa, termasuk isu yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, rombakan berkenaan diharap dapat memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi Kerajaan Madani secara fokus, tersusun dan berterusan.
“Saya menzahirkan harapan agar kesemua yang diberikan amanah ini bekerja dengan penuh iltizam dan tanggungjawab, demi kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada barisan pimpinan sebelum ini atas sumbangan dan komitmen menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara.
Sebelum rombakan diumumkan, empat portfolio kementerian masih kosong susulan peletakan jawatan dan tamat tempoh pelantikan beberapa menteri.
Portfolio terlibat ialah Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara menunggu pelantikan rasmi, beberapa kementerian dipangku oleh menteri lain.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengambil alih portfolio ekonomi, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengendalikan portfolio sumber asli dan kelestarian alam.
Kekosongan itu berlaku susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pertengahan tahun ini, manakala Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mengosongkan jawatan MITI selepas tamat tempoh sebagai senator.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula memangku portfolio pembangunan usahawan dan koperasi susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu. – UTUSAN










