PEKAN: Pasangan suami isteri di Taman Sri Maulana di sini, merayu orang ramai membantu membiayai perubatan anak mereka berusia 12 tahun yang menghidap penyakit ‘Crouzon Syndrome’, iaitu sejenis kelainan genetik sejak dilahirkan.
Mohd. Fazrul Razduan Kamaruzaman, 43, berkata, Muhammad Niyaz Furqan lahir dengan kecacatan fizikal di bahagian muka dan tengkorak kepala selain keadaan matanya merah serta sering mengalami masalah pernafasan.
“Sejak lahir, anak didiagnos Crouzon Syndrome iaitu sejenis kelainan genetik yang menyebabkan tulang tengkoraknya bercantum terlalu awal, membentuk wajah dan kepala tidak normal.
“Ketika usianya lapan bulan, dia sudah melalui pembedahan besar untuk membuka ruang pernafasan dan membuka sedikit ruang di bahagian kepala bagi perkembangan otak mengikut pertumbuhan kanak-kanak lain.
“Semua rawatan dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Sehingga kini kos dibelanjakan sudah mencecah RM60,000. Walaupun sudah melakukan pembedahan, mata anak saya tetap tidak tertutup dan tidur mata terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Fazrul Razduan berkata, penilaian terkini mendapati penonjolan bebola mata anaknya semakin teruk dan memerlukan pembedahan.
“Tarikh pembedahan pada 26 Januari 2026. Namun, kos keseluruhan rawatan yang diperlukan mencecah RM34,718,” katanya.
Menurutnya, kos itu terlalu tinggi menyebabkan dia dan isteri tertekan kerana pendapatannya yang bekerja sendiri dan gaji isteri sebagai penjawat awam tidak dapat menampung kos tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Fazrul di talian 019-9454546 atau menyalurkan ke akaun Agrobank atas nama Mohd. Fazrul Razduan (2007531000126297) atau Bank Rakyat atas nama Norzati Iwani (2245410802). – UTUSAN











