TMM2026: RXZ Members, sukan lasak 4x4 antara tarikan utama

TMM2026: RXZ Members, sukan lasak 4×4 antara tarikan utama

PROGRAM RXZ Members menjadi salah satu acara utama dalam Kalendar Pelancongan Terengganu tahun depan, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Program perhimpunan tahunan peminat motosikal klasik Yamaha RXZ dan sukan permotoran lasak pacuan empat roda (4×4), menjadi antara 13 acara utama dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Berdasarkan poster 13 Acara Utama Terengganu 2026 yang dipromosi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, penganjuran RXZ Members 8.0 dija­dual berlangsung September tahun depan di Litar Permotoran Terengganu Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini.

Pada edisi tahun ini Ogos lalu, program itu bukan sahaja mencatat rekod kehadiran kira-kira 150,000 peserta malah membawa limpahan ekonomi dianggarkan mencecah RM50 juta kepada Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, kejayaan pe­nganjuran edisi kelima Terengganu 4×4 Merdeka Challenge di Kuala Nerus pada Ogos lalu yang menghimpunkan 152 jentera 4×4 menjadi faktor utama program itu diangkat sebagai satu produk pelancongan melalui sukan lasak.

Untuk edisi tahun depan, Terengganu 4X4 Merdeka Challenge dijadual berlangsung dari 2 hingga 5 September di Bandar Baru Kuala Nerus.

Program lain yang diangkat sebagai acara utama dalam kalendar pelacongan Terengganu 2026 ialah Pelita Raya Terengganu, Musim Candat Sotong, Terengganu Marathon 2026, Kapas-Marang Swimathon 2026 dan Sultan Mizan International Photography Awards.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Pelancongan, Ke­budayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris ketika melancarkan Kalendar Acara Tahunan (COE) Terengganu 2026 berkata, di samping 13 acara utama, sebanyak 100 acara sampingan dilaksanakan di seluruh daerah sempena sambutan TMM 2026.

Katanya, semua acara disusun mengikut lima kluster pelancongan negeri iaitu Kuala Terengganu, Pantai dan Pulau, Kenyir Geopark, Alam Semula Jadi serta Seni, Budaya dan Warisan.

“Pendekatan kluster ini selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk memperkukuh identiti pelancongan daerah, meningkatkan nilai ekonomi setempat dan memastikan pertumbuhan pelancongan berlaku secara seimbang dan inklusif.

“Penyediaan Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2026 adalah signifikan kerana ia menyokong TMM 2026 dan menjadi persediaan penting untuk memperkukuh momentum pelancongan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027,” katanya.

Sementara itu , beliau berkata, seramai 8.5 juta pelancong direkodkan mengunjungi Terengganu dari Januari hingga bulan lalu yang melepasi sasaran enam juta pelancong.

“Daripada jumlah itu, seramai 7.2 juta adalah pelancong domestik manakala selebihnya pelancong asing. Untuk tahun depan, kami menyasarkan kadar kedatangan pelancong asing meningkat 30 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×