Miskin bandar paling ramai di Gombak, Klang, Petaling

Miskin bandar paling ramai di Gombak, Klang, Petaling

Miskin bandar
PENGERUSI Tan Sri Syed Anwar Jamalullail menerima bayaran zakat daripada Aeril Zafrel sambil disaksikan oleh Mohd. Khaidzir (dua dari kiri) pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga daerah dalam kawasan Lembah Klang di negeri ini iaitu Gombak, Klang dan Petaling dikenal pasti merekodkan jumlah penduduk miskin bandar tertinggi berdasarkan keperluan terhadap bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bantuan diberikan melalui badan baitulmal itu termasuk sumbangan zakat yang dibayar oleh seramai 335,499 pengeluar termasuk individu dan korporat yang membuat bayaran kepada LZS sehingga Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, kutipan sehingga tempoh sama mencecah sebanyak RM827 juta dengan agihan sebanyak RM1.04 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berharap lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil membayar zakat bagi membolehkan baki sasaran kutipan lebih RM300 juta diperolehi sebelum akhir tahun ini.

“Insya-Allah, kita tetap optimis sasaran RM1.328 billion mampu dicapai. Malah, LZS kini giat melakukan promosi daripada pelbagai platform termasuk menarik pembayar zakat baharu,” katanya, ketika berucap pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) 2025, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah penerima bantuan zakat bagi ketiga-tiga daerah berkenaan.

November lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 60 peratus penerima bantuan daripada LZS bukan berasal dari negeri ini.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu yang memaklumkan tentang kadar kemiskinan dan perancangan kerajaan negeri bagi menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, antara penerima-penerima bantuan daripada badan baitulmal itu adalah penduduk yang berasal dari negeri lain termasuk mereka berhijrah dari Pantai Timur.

Terdahulu, sebanyak 56 buah syarikat tampil membuat bayaran zakat berjumlah RM22.15 juta dengan Syarikat Dherbs Holdings Sdn. Bhd. menjadi pembayar terbesar zakat perniagaan terbesar sebanyak RM2 juta dan diikuti Open University Malaysia (RM1,512,614) dan Afed Holdings (RM1,465,000).

Sementara itu, pengasas Wawa Global Sdn. Bhd, Aeril Zafrel menekankan kepentingan pembayaran zakat bagi individu dan syarikat yang layak kerana menjadi kewajipan dan boleh menjadi dosa jika diabaikan.

“Saya sentiasa pastikan syarikat dan diri saya sendiri untuk bayar zakat,” ujarnya.

Wawa Global dilapor menyerahkan RM1 juta zakat perniagaan kepada LZS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini