PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abdul Halim menegaskan, pelantikannya sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka hanyalah bersifat sementara.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pelantikan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapinya.
Menurutnya, meskipun tempoh pelantikan tersebut bersifat sementara, tanggungjawab berkenaan akan digalas sebaik mungkin dengan memberi keutamaan kepada pengukuhan jentera parti sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya menerima pemakluman mengenai pelantikan sebagai Pemangku Pengerusi MPN PKR Melaka. Keputusan ini dicapai oleh Biro Politik PKR melalui resolusi bersama dan bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh memaklumkan, Adam Adli akan memangku tugas sebagai Pengerusi MPN PKR Melaka berkuat kuasa semalam.
Fuziah turut mengesahkan Shamsul Iskandar yang juga bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri kekal sebagai Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya.
Adam Adli berkata, selain memperkemas persiapan awal menghadapi PRN Melaka, beliau turut memberi penekanan terhadap aspek kestabilan dan disiplin organisasi parti di peringkat negeri.
“Saya yakin dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan dan akar umbi, PKR akan terus bergerak secara tersusun, berdisiplin dan kekal fokus kepada kepentingan rakyat berlandaskan prinsip ‘Keadilan Untuk Semua’,” katanya.
Pada 4 Disember lalu, Shamsul Iskandar bersama seorang ahli perniagaan, Albert Tei, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung beberapa pertuduhan rasuah.
Pertuduhan itu melibatkan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kesalahan menerima suapan dan Seksyen 17(b) berkaitan kesalahan memberi suapan, manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN











