PM jamin integriti agensi penguatkuasaan jadi keutamaan

PM jamin integriti agensi penguatkuasaan jadi keutamaan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa integriti dalam penguatkuasaan undang-undang kekal sebagai keutamaan dalam usaha mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan melibatkan agensi penguatkuasaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia terbukti apabila nilai rampasan lucut hak dan kutipan penalti mencecah RM15.5 bilion sekali gus rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keupayaan agensi penguatkuasaan bertindak tegas terhadap ketirisan, rasuah dan penyeludupan sekali gus menolak dakwaan bahawa sistem penguatkuasaan negara lemah.

“Isu integriti membabitkan badan-badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi berkaitan lain sering menjadi perhatian dan perbincangan rakyat.

“Saya memberi jaminan bahawa isu integriti ini utama. Kalau tanpa integriti, tidak mungkin nilai rampasan lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion dapat dicapai. Ini kali pertama dalam sejarah negara ini.

“Ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa sebelum ini wujudnya kelonggaran dan kelompongan. Mana mungkin sesebuah negara mampu kutip RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan kegiatan berkaitan sekiranya integriti diutamakan,” katanya/

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali berhubung langkah kerajaan memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan.

Daripada jumlah keseluruhan rampasan itu, Anwar berkata, SPRM merekodkan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion manakala PDRM mencatatkan jumlah rampasan hasil penyitaan hampir RM4 bilion, selain Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut berjaya menumpaskan sindiket haram dan kegiatan penyeludupan dengan nilai rampasan melebihi RM2.5 bilion.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut mencatatkan rampasan dan kutipan penalti berjumlah RM1 bilion.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui tindakan tegas terhadap perasuah sering berdepan persepsi negatif dan pembelaan politik sedangkan pencapaian agensi penguatkuasaan jelas memberi pulangan besar kepada negara.

“Tindakan-tindakan tegas SPRM terhadap perasuah-perasuah ataupun yang dianggap perasuah besar itu kadang-kadang tidak mendapat dukungan malah ada pembelaan termasuk beberapa ahli Dewan Rakyat sendiri.

“Tentunya ada beberapa kelemahan yang tidak boleh dinafikan tetapi untuk kita memberi gambaran negatif, saya tidak fikir ia adil terutamanya terhadap PDRM. PDRM dalam semua tindakan telah menunjukkan keupayaan mereka melalui proses integriti ini dan berjaya memperolehi jumlah yang besar untuk negara,” katanya.

Berhubung isu kematian dalam tahanan, Anwar berkata, persepsi bahawa ia melibatkan majoriti satu kaum tidak tepat berdasarkan rekod rasmi sejak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCC) pada 2024.

Katanya, sejak penubuhan IPCC, sebanyak 57 kes kematian dalam tahanan direkodkan membabitkan Melayu (25), India (4), Cina (9), warga asing (15) serta Bumiputera Sabah dan Sarawak (4).

“Sekiranya ada kes-kes di mana ada keterlanjuran tindakan oleh polis, siasatan rapi tetap dilakukan.

“Saya beri contoh kes terkini yang menimbulkan banyak persoalan berhubung kematian tiga individu yang dianggap penjenayah tegar di Melaka. 

“Siasatan rapi telah dijalankan dan saya mendapat jaminan daripada Ketua Polis Negara serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah bahawa siasatan dilakukan secara telus tanpa sebarang tolak ansur dengan laporan lengkap telah dikemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa tuntutan terhadap integriti dan pematuhan undang-undang oleh pihak polis tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kelemahan dalam menangani penjenayah tegar yang mengancam keselamatan awam.

“Jangan sekali-kali bagi gambaran kita lemah dan tolak ansur terhadap penjenayah tegar yang berkeliaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×