KLANG: Sebanyak 28.81 juta batang rokok dan 4,887.51 liter (l) berjumlah keseluruhan RM24.31 juta termasuk cukai dalam Operasi Fortex Trident pada 29 Oktober hingga 4 November lalu di Pelabuhan Klang dan Shah Alam.
Pada 29 Oktober dan 4 November lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menyita 28.81 juta rokok putih hasil pemeriksaan ke atas tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Pengarahnya, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 10 juta batang rokok diisytihar sebagai pakaian dan kontena pula berstatus transhipment dan manifes diikrarkan dengan tidak benar.
“Manakala pemeriksaan ke atas kontena kedua dan ketiga pula menemukan 18.81 juta batang rokok putih. Kedua-dua kontena berstatus sama namun menggunakan nama konsaini yang tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sementara minuman keras pula, Bahagian Penguatkuasaan JKDM merampas komoditi itu di tiga lokasi iaitu di Kedai Bebas Cukai (KBC) di Pelabuhan Barat, gudang di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan kedai runcit di Shah Alam.
Menurut Mohamad Azhar, jumlah minuman keras yang dirampas masing-masing berjumlah 1,573.4l di KBC, 2,562l arak menerusi pemeriksaan 16 buah palet kotak kayu di Pelabuhan Utara dan 752.11l.
“Rampasan rokok disiasat di bawah Seksyen 133 1(a) Akta Kastam 1967 kerana mengikrar tidak benar yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Sementara rampasan minuman keras pula disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) akta sama yang membawa hukuman denda 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN










