Bermula dengan hanya menyimpan duit syiling lama sebagai hobi, Baharom Daud, 51, yang berasal dari Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini mempunyai lebih 300 koleksi teko dan cawan antik.
Minatnya mengumpul pelbagai pelbagai jenis teko dan cawan lama untuk dijadikan hobi bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila menerima sebuah gelas ‘merdeka’ hadiah Allahyarham bapanya.
“Pada masa itu saya mula terfikir untuk menyimpan gelas berkenaan. Bermula daripada situ saya mula mengumpul sedikit demi sedikit teko dan cawan unik dan antik dengan bantuan kenalan di Facebook. Saya juga selalu ke pelbagai pasar jualan barang antik.
“Saya pernah mengumpul wang kertas lama namun saya tidak merasai keseronokan kerana wang itu hanya disimpan di dalam buku dan tidak boleh dilihat, digunakan mahupun dijadikan perhiasan,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia di Taman Warisan Puteri, Seremban baru-baru ini.
Baharom yang pernah bekerja dengan sebuah syarikat perbankan memberitahu, sejak bersara, dia banyak menghabiskan masa mencari pengumpul cawan dan teko serta mengambil peluang berjual beli dengan peminat tegar koleksi barangan antik tersebut.
“Sejak 2015, saya sudah mula berjual beli teko dan cawan mengikut citarasa dan corak yang mendapat permintaan pelanggan. Apa yang menambah semangat saya untuk mengumpul apabila turut menerima tempahan daripada seorang pengumpul dari Indonesia.
“Dia adalah pelanggan pertama saya dan saya berurusan menjual beli melalui media sosial.
“Kebanyakan yang menghubungi saya akan membeli corak yang lama dan mereka berpuas hati, melihat peluang itu saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan,” katanya yang pernah menjual sebuah teko dengan harga RM3,000.
Menurutnya lagi, kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang memang merupakan pengumpul barangan antik dan lama.

PELANGGAN PELBAGAI PERINGKAT UMUR
“Saya sering memuat naik gambar teko dan cawan melalui akaun Facebook dan Instagram saya hampir setiap hari. Tidak sangka, saya menerima pelanggan pelbagai peringkat umur dan saya juga ada menerima kedatangan pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek yang datang ke rumah saya beberapa kali untuk mendapatkan koleksi teko dan cawan lama ini,” katanya.
Tambah Baharom lagi, minatnya itu juga disokong isteri, Norzaharah Abd. Sattar, 41, yang turut sama membantu mengumpul barangan berkenaan.
“Saya dan isteri ada juga menyimpan koleksi khas yang tidak akan dijual kepada sesiapa. Bagi kami, teko dan cawan termasuk beberapa sudip, pinggan, mangkuk tersebut sukar ditemui di mana-mana.
“Saya hanya akan menjual teko dan cawan yang mempunyai lebihan corak yang sama sahaja. Ia bergantung kepada kehendak pelanggan,” katanya yang memberitahu akan membersihkan dan menukar susunan teko dan cawan dimilikinya sekali dalam sebulan.
Tambahnya, antara corak koleksi teko dan cawan dikumpulnya adalah seperti bercorak wet rose atau corak bunga ros yang seakan basah, bunga kangkung, bunga padi, kekwa merah, kekwa hijau, kekwa biru, dahlia biru dan kuning, kekwa hitam dan kekwa bunga tengah.
“Kebanyakan pelanggan menyukai corak bunga kangkung. Saya mampu menjual sebuah teko dengan harga di antara RM200 sehingga RM1,800 bergantung kepada corak dan cetakan di bawah teko berkenaan yang dikenali dengan nama teko aladin, teko siku, teko Cinderella dan teko gajah,” katanya.
BUKA GALERI
Baharom memberitahu, dia pernah berhasrat untuk membuka sebuah kedai menjual barangan antik seperti cawan, teko serta pinggan namun atas beberapa kekangan termasuk penularan pandemik Covid-19 menyebabkan dia hanya berjual beli di rumah sahaja.

“Saya pernah terfikir untuk mendapatkan sebuah kedai namun disebabkan PKP dan tidak mempunyai banyak koleksi lebih baik saya berurusan jual beli di rumah sahaja. Saya ada menyediakan beberapa almari di luar rumah dan menyusun teko dan cawan yang ingin dijual di situ.
“Cara ini lebih memudahkan saya dan menggunakan ruang halaman rumah untuk berurus niaga dengan pelanggan. Saya susun di luar rumah dan hanya meletakkan satu jenis corak setiap set bagi memudahkan pelanggan memilih barangan yang diminati mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Baharom menambah, dia juga berhasrat membuka sebuah galeri bagi mempamerkan koleksi barangan lama yang di milikinya itu sekali gus memberi peluang kepada orang lain untuk mengimbau kenangan masing-masing.
“Ada pelanggan memberitahu mereka mahu menyimpan koleksi pelbagai teko dan cawan di sebabkan nilai sentimental ketika menggunakan barangan. Ada yang teringat zaman lama malah ada juga mengimbau kenangan ketika zaman kecil dahulu,” katanya.
Mana-mana pihak yang berminat menjual atau beli barangan seperti teko, cawan dan pinggan lama dan antik boleh menghubungi Baharom menerusi akaun Facebook, Tuan Warikh (Daud) dan di akaun Instagram, D’Lemari_Tuan_Warikh_Daud.











