KUALA LUMPUR: Semua syarikat utiliti tenaga diminta untuk mengemukakan projek yang mampu mengurangkan pembaziran tenaga, mempercepatkan sambungan serta mengukuhkan sistem grid bagi menghadapi cuaca ekstrem.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan kini sedang menyelaraskan dasar, peraturan dan perolehan bagi memastikan kecerdasan buatan (AI) menjadi pemudah cara kepada daya tahan grid.
Katanya, ia bertujuan supaya infrastruktur digital berkembang secara mampan, projek penyahkarbonan mencapai penutupan kewangan dengan lebih pantas serta kesalinghubungan serantau menjadi norma, dan bukannya pengecualian.
“Kita menggesa pengilang dan pemilik bangunan untuk melaksanakan penyelesaian kecekapan, tindak balas permintaan dan penyimpanan berasaskan AI serta berkongsi pengajaran yang diperoleh supaya permintaan terkumpul dapat menjadi sumber sistem yang boleh dipercayai.
“Kita menjangkakan pelabur pusat data dan pengkomputeran AI mereka bentuk kemudahan yang cekap dan menggunakan tenaga bersih sejak hari pertama serta bekerjasama rapat dengan syarikat utiliti bagi mengurus kesan terhadap grid secara bertanggungjawab.
“Kita menjemput pihak pembiaya untuk menilai integriti, daya tahan dan kelajuan kepada impak dengan sewajarnya dan kita menggalakkan rakan-rakan ASEAN untuk memperluas sambungan antara negara serta menyelaraskan peraturan supaya tenaga bersih dapat mengalir ke kawasan yang paling memerlukannya,” katanya pada Sidang Kemuncak AI Global, Digital dan Ekonomi Hijau 2025 di sini hari ini.
Mengulas hala tuju negara, beliau berkata, Malaysia jelas dan tegas dalam membina grid moden, ekonomi digital berasaskan AI yang boleh dipercayai serta sistem pembiayaan iklim yang menghasilkan penyahkarbonan sebenar.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon, malah turut memperkukuh keselamatan tenaga, mewujudkan industri baharu, membuka peluang pekerjaan lebih baik dan menyediakan udara bersih untuk rakyat.-UTUSAN











