Budaya agenda tidak penting

Budaya agenda tidak penting

JANGAN biar perkara remeh mencuri fokus sebaliknya utamakan yang penting, bina masyarakat produktif dan berdaya maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA mementingkan agenda yang tidak penting semakin ketara dalam pelbagai lapisan masyarakat hari ini. Fenomena ini bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya sudah menjadi kebiasaan yang menjejaskan fokus terhadap perkara asas.

Dalam organisasi, sekolah, tempat kerja, malah kehidupan seharian, kecenderungan mengejar hal remeh akhirnya melahirkan masyarakat letih, tidak produktif dan keliru tentang keutamaan sebenar.

Apabila perkara tidak penting diberi perhatian utama menyebabkan isu kritikal akan tersisih. Dalam sektor pendidikan, guru dan pentadbir kadangkala lebih fokus kepada hiasan bilik darjah atau penyediaan laporan panjang, berbanding memperkukuh pedagogi dan kebajikan murid. Situasi ini wujud kerana budaya mahu ‘nampak sibuk’ lebih dihargai daripada keberkesanan sebenar. Hasilnya, kerja yang tidak memberi impak menjadi lebih utama daripada tugas teras.

Dalam dunia pekerjaan, budaya ini muncul melalui mesyuarat yang tidak perlu, tugasan berulang tanpa hala tuju dan projek kosmetik semata-mata untuk memenuhi kehendak pihak tertentu. Mesyuarat yang berjam-jam membincangkan isu kecil yang boleh diselesaikan melalui mesej ringkas membazirkan masa dan mematahkan semangat pekerja.

Fenomena ini juga kelihatan dalam kehidupan sosial dan media. Isu sensasi, gosip selebriti atau perdebatan picisan sering mendapat perhatian berbanding isu bermakna. Fokus masyarakat kepada hal remeh menyebabkan pemikiran dangkal dan mudah terpengaruh.

Dalam politik, sebahagian pemimpin lebih mengejar populariti jangka pendek melalui isu kecil daripada menangani masalah rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan.

Budaya ini lahir daripada cara berfikir yang tidak tersusun, tiada matlamat jelas dan kelemahan pengurusan masa. Individu tanpa hala tuju mudah terperangkap dalam aktiviti menyeronokkan tetapi tidak berfaedah.

Tekanan budaya juga menyumbang apabila organisasi yang menilai penampilan laporan dan program besar menggalakkan pekerja mengejar kosmetik, bukan impak sebenar.

Kesan budaya ini amat merugikan. Individu cepat letih, tugas utama tertangguh, sumber organisasi terbuang dan kreativiti serta pemikiran kritis terhenti. Masyarakat pula hilang kemampuan membincangkan isu dasar atau idea besar. Integriti kerja turut merosot kerana tumpuan diberikan kepada bentuk, bukan isi.

Untuk membendung budaya ini, keutamaan mesti ditetapkan berdasarkan nilai dan manfaat sebenar. Guru dan pentadbir perlu memfokus kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berimpak tinggi sementara pemimpin mesti menetapkan garis panduan jelas dan kemahiran mengurus masa serta membuat keputusan rasional perlu diterapkan sejak kecil.

Teknologi perlu digunakan secara bijak agar masyarakat tidak hanyut dalam perkara melalaikan. Pemimpin yang memberi contoh dan memfokuskan tenaga pada agenda bernilai akan membentuk budaya sihat.

Masyarakat perlu sedar masa adalah sumber tidak boleh diganti. Setiap minit yang hilang kerana fokus pada perkara tidak penting memotong peluang memperbaiki diri dan meningkatkan kehidupan. Budaya ini bukan sahaja merugikan individu tetapi melemahkan struktur sosial dan organisasi.

Dengan mengembalikan fokus kepada perkara teras menjadikan masyarakat lebih matang, organisasi lebih efisien dan negara bergerak ke arah kemajuan yang lebih bermakna.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×