PETALING JAYA: Wanita merupakan golongan yang lebih kerap menjadi mangsa dan terjerat dalam penipuan cinta atau love scam berbanding lelaki.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, statistik menunjukkan sebanyak 977 kes love scam membabitkan kerugian RM43 juta dilaporkan sejak awal tahun ini sehingga November lalu.
“Statistik itu menunjukkan jumlah kes penipuan love scam tahun ini mencatat kenaikan sebanyak 37 peratus berbanding 715 kes tahun lalu.
“Jumlah kerugian tahun ini turut merekodkan kenaikan sebanyak empat peratus berbanding RM41 juta tahun lalu,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, sindiket penipuan biasanya membina hubungan palsu melalui platform dalam talian sebelum memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang.
“Penipu berkenaan lazimnya mengelak pertemuan fizikal atau panggilan video dan mendakwa bekerja di luar negara serta meminta wang atas alasan seperti kecemasan, hadiah tersekat di kastam, atau projek perniagaan,” katanya.-UTUSAN










