PETALING JAYA: Ribut Byron kini dikatakan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza dengan menjejaskan hampir 800,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur Sabrina Suhaimi berkata, situasi kemanusiaan di Gaza meruncing susulan Ribut Byron yang memberi ancaman kepada hampir 800,000 penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal.
Katanya, kebanyakan daripada mereka berlindung di bawah runtuhan bangunan, manakala sebahagian lagi berada di khemah yang tidak sempurna, menyebabkan risiko banjir meningkat.
“Mereka yang terperangkap di bawah runtuhan diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam menggunakan cangkul dan kudrat manusia. Pada masa sama, seramai 16 orang dilaporkan maut akibat Ribut Byron, manakala tiada rekod kesyahidan.
“Selain itu, bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk dilaporkan berkurangan. Kurang daripada 50,000 khemah dibenarkan masuk sepanjang tempoh gencatan senjata, manakala lebih 140,000 penduduk Gaza terkesan dengan Ribut Byron dan lebih 200 kem penempatan sementara terjejas.
“Hanya 7,333 trak kemanusiaan dibenarkan masuk, jauh daripada jumlah yang dituntut iaitu 33,600 trak bagi tempoh 12 Oktober hingga 7 Disember 2025,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan keselamatan pula masih kekal rapuh, infrastruktur musnah teruk, manakala bantuan kemanusiaan yang masuk masih tidak mencukupi dan sering tersekat akibat isu akses serta keselamatan.
“Penduduk awam berdepan kesukaran besar, terutama dengan kedatangan musim sejuk dan hujan lebat. Ratusan ribu pelarian dalaman berisiko banjir, sementara keperluan makanan, perlindungan dan rawatan kesihatan masih mendesak.
“Sementara keadaan di Sudan pula, hampir 12 juta penduduk berpindah, selain mencetuskan ancaman kebuluran terutama di wilayah Darfur,” katanya.
Menurutnya, Malaysia perlu kekal komited dalam menyuarakan sokongan kepada Palestin dan menggesa semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain mendesak akses bantuan tanpa halangan di Gaza dan Sudan. – UTUSAN











