Berbekal pengalaman bekerja sebagai tukang masak masakan Barat, Muhammad Danial Asyraf Mohd. Suhaimi dan rakan niaganya, Dania Ezzatul Afiqah Zolkifli mengambil langkah berani membuka kafe sendiri setahun lalu.
Memilih kawasan baharu di Cybersouth, Dengkil sebagai lokasi, Beartik Cafe miliknya itu menyediakan hidangan berkonsep hidangan Barat yang enak dengan sentuhan cita rasa kegemaran orang Malaysia.

Menawarkan aneka hidangan yang digemari ramai, penggemar masakan Barat boleh mencuba Pasta Carbonara, kambing panggang (Grill Lamb Chop) yang dihidangkan bersama nasi goreng, ayam panggang (Grill Chicken Chop) dan isi ayam buttermilk yang lembut (Chicken Tenders Buttermilk) bersama nasi.
Beartik Cafe
Alamat: No. 11-G, Jalan PP 1/1, Park Place 1,
Cybersouth, 43800 Dengkil, Selangor.
Waktu operasi
Isnin – Khamis:
3 PM – 11 PM
Sabtu dan Ahad:
3 PM – 11 PM
Jumaat: Tutup
Muhammad Danial Asyraf, 29, berkata, hidangannya menggunakan bahan tempatan seperti sayur-sayuran dan rempah ratus yang dibeli segar dari Pasar Tani manakala daging dan ayam salai dari Negeri Sembilan.
“Kami juga menggunakan beberapa bahan import seperti kambing dari Australia dan daging dari New Zealand. Selain itu, kami menggabungkan rempah Melayu dan India di dalam sajian terutama sekali di dalam kuah lada hitam bagi menjadikan rasanya lebih dekat dengan selera rakyat Malaysia.
“Kami juga menggunakan perapan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kami lakukan sendiri untuk masakan panggang supaya rasanya lebih asli dan memenuhi cita rasa Malaysia yang lebih meminati rasa panggang berempah. Ternyata keunikan cita rasa hidangan kami mendapat sambutan baik dari pelanggan,” katanya.

Katanya, kafe itu juga sedia menerima pelanggan yang mempunyai alahan dan jenis sekatan diet yang tertentu seperti daging, tenusu dan seterusnya. Pelanggan boleh memaklumkan kepada pihak kafe keperluan dalam hidangan mereka.
“Saya mempelajari asas memasak ketika bekerja sebagai tukang masak di kafe milik seorang kawan.
“Menu yang saya buat menggunakan resipi sendiri iaitu Pasta Bolognese dan Carbonara, di mana cef di situ memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan resipi sendiri. Dari situ, saya mula melakukan R&D dengan bimbingan cef berkenaan.
“Menu yang saya hasilkan ketika itu menerima sambutan baik daripada pelanggan. Selepas saya berhenti, saya meneruskan R&D sendiri dengan menggabungkan rempah ratus Melayu dan India bagi menghasilkan konsep gabungan Barat-Malaysia, terutamanya semasa tempoh PKP,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakan hidangan di kafenya itu perlu menjalani ujian rasa melalui keluarga dan rakan-rakannya. Ia bagi memastikan setiap menu enak dan memenuhi cita rasa pelanggan. Hingga kini, R&D berterusan dijalankan untuk menambah baik kualiti hidangan.
Rakan niaganya, Dania banyak belajar memasak dengan ibunya yang pernah berniaga selain daripada media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube demi menghasilkan masakan enak.
Antara menu daripada resipi Dania yang paling popular adalah Chicken Tenders Buttermilk bersama minyak cili buatan sendiri yang sangat popular dalam kalangan pelajar dan pelanggan yang berkunjung ke kafe itu
Selain hidangan, pelanggan boleh menikmati minuman yang menyegarkan seperti Air Gas Legend dan Classic dari Melaka (Long Chan), Latte Hazelnut, Matchameow dan Strawberry Frappe Long Chan (Air Berkarbonat jenama tempatan).
“Kami ada juga menjual minuman limited time only pada setiap dua bulan, supaya kami dapat menyajikan idea kreatif barista kami. Ini menggalakkan barista kami untuk lebih mengkaji cita rasa setempat dan pada masa sama pelanggan akan rasa tertunggu-tunggu untuk drinks season seterusnya.
“Kami menjadikan komen positif mahupun negatif untuk membuat pengubahsuaian bagi memastikan setiap makanan termasuk minuman digemari pelanggan. Kakitangan juga diwajibkan untuk selalu mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dalam memahami selera mereka,” katanya.
Sambil menunggu atau menikmati hidangan, pengunjung yang gemar membaca boleh duduk bersantai di sudut khas, Bearku. Sudut ini menyediakan bahan bacaan seperti buku ilmiah, komik dan majalah.
“Ruang ini juga mesra keluarga. Anak kecil boleh mewarna atau menonton rancangan kanak-kanak menerusi TV yang disediakan manakala ibu bapa dan orang dewasa pula bermain permainan kad sementara menunggu makanan dihidangkan.
“Kami turut menyediakan WiFi percuma untuk kemudahan pelanggan yang bekerja dari rumah (WFH) dan pelajar menyiapkan tugasan masing-masing sambil menikmati hidangan.Kami turut menerima sumbangan buku atau board game daripada orang ramai,” katanya.
Selain itu, kafe ini juga menerima tempahan bagi penganjuran acara seperti sambutan hari jadi, ulang tahun dan majlis makan malam yang boleh memuatkan antara 30 hingga 40 pengunjung sekali gus.
Selain itu, tempahan buffet juga diterima untuk acara kecil mengikut cita rasa dan tema pelanggan. Harga setiap hidangan bermula serendah RM8. 90. Semua hidangan panggang, boleh makan untuk enam hingga lapan orang dengan harga RM199.90. – UTUSAN









