KUALA LUMPUR: Pengarah dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, disambung jaminan polis selama sebulan lagi bermula Khamis lalu hingga 11 Januari 2026.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jaminan Namewee disambung sementara polis menunggu laporan penuh toksikologi membabitkan kes kematian pempengaruh warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, 33, yang mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Ia masih dalam siasatan, kita masih menunggu laporan toksikologi seperti yang dinyatakan yang mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan.
“Kita masih sambung jaminannya (Namawee) sementara menunggu keputusan Jabatan Kimia, kalau tidak kita akan sambung lagi jaminan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita 2025 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2 di sini, hari ini.
Pada 26 November lalu, Namewee disambung jaminan polis selama dua minggu lagi sementara siasatan diteruskan.
Sebelum ini, kertas siasatan membabitkan Namewee akan dihantar semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas laporan bedah siasat diperoleh.
Bulan lalu, Namewee dibebaskan dengan jaminan polis sehingga hari ini sementara laporan bedah siasat diperoleh.
Mengenai Taman Angkat Amanita, Fadil berkata, ia bukan sekadar ruang rekreasi, tetapi menjadi platform jalinan mesra antara polis dan masyarakat, selain sebagai simbol kerjasama strategik dalam memperkukuh konsep kepolisan komuniti yang menjadi teras kepada usaha pencegahan jenayah secara holistik.
“Sebuah kabin Amanita telah diletakkan di sini menjadikan ia hentian Amanita PDRM.
“Kita percaya bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan masyarakat akan lebih dekat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus membina kepercayaan dan persefahaman yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN









