KUALA SELANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menggerakkan sepasukan dari lima balai bomba dan penyelamat (BBP) bagi memadam kebakaran sebuah kilang plastik dekat Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasinya, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.53 pagi tadi dan menggerakkan pasukan dari BBP Bestari Jaya dengan bantuan BBP Kapar, Kota Anggerik, Rawang Batu Arang dan Petaling Jaya.
Katanya, kejadian berlaku melibatkan sebuah kilang pemproses polimer di Jalan TIAJ3/1/3 Taman Industri Alam Jaya yang terletak 25 kilometer dari BBP terdekat.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kilang plastik berkeluasan 60,000 kaki persegi (kira-kira 5,574.18 meter persegi). Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan. Bagaimanapun kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kerja-kerja pemadaman dilakukan oleh 35 pegawai dan anggota serta pasukan bomba sukarela yang melibatkan sembilan jentera pelbagai jenis seperti fire rescue tender (FRT), water tanker, aerial ladder platform (ALP).
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Penduduk di berhampiran kawasan perindustrian Alam Jaya dekat Bandar Puncak Alam, di sini gempar apabila melihat kepulan asap dan api menjulang ke langit, di sini, hari ini.
Kepulan asap itu disebabkan kebakaran sebuah kilang plastik yang terletak berdekatan Jalan TIAJ 3 di kawasan perindustrian berkenaan.
Menerusi video dan gambar yang dimuat naik dalam media sosial kelihatan api menjulang ke langit lebih 20 meter sehingga mencetuskan kepulan asap yang dikesan penduduk tinggal sejauh lima kilometer. – UTUSAN










