SEREMBAN: Tiga buah lagu berunsur ketuhanan oleh penyanyi, Ramli Sarip bergema di Auditorium Raja Melewar, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri di sini, semalam.
Ia bersempena program Malam Teromba, Puisi dan Lagu Puisi bertemakan Citra Puitis Bicara Ilahi anjuran Kelab Teater Asar Negeri Sembilan (ASAR) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; JKKN dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).
Ramli menyampaikan lagu tersebut pada kemuncak acara yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Pada mulanya, beliau yang terkenal dengan panggilan ‘Papa Rock’ menyampaikan lagu berjudul Bahasa Terindah dan Perjalanan Hidup.
Ketika persembahan tampak berakhir, dewan itu bergema dengan sorakan penonton yang meminta Ramli menyanyikan sebuah lagi lagu.
Akur dengan permintaan itu, Ramli menyampaikan lagu Nyanyian Serambi yang mendorong para penonton dan tetamu kehormat tampil ke pentas untuk meraikan nyanyian tersebut.
Selain Ramli, seramai 14 personaliti seni turut menjayakan program tersebut antaranya Datuk Lim Swee Tin, Siso dan Zuhairi Ibrahim. Mereka menyampaikan teromba, sajak, puisi dan lagu puisi.
Pengasas ASAR, Prof. Adjung Dr. Ahmad Rashidi Hasan yang bertindak sebagai pengacara utama membuka acara dengan menyampaikan puisi Rembulan Menangis.
Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman menyifatkan program itu sebagai satu bentuk dakwah dalam bentuk seni.
“Seni ini amat mengagumkan dan ia mampu menarik perhatian orang ramai bahawa dakwah boleh disebarkan dalam medium yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN










