Keunikan terusan, sungai di Sawah Sempadan

Keunikan terusan, sungai di Sawah Sempadan

Sawah Sempadan
PESERTA pertandingan memancing sedang menunggu umpan mereka mengena pada Karnival Putra@Sawah Sempadan Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sawah Sempadan di Tanjong Karang yang menempatkan tujuh kampung dianggap unik dan berpotensi untuk terus dijadikan kawasan pelancongan di samping tumpuan pertanian terutama sawah padi.

Ini kerana, selain pemandangan saujana sawah padi yang memukau, terdapat pelbagai anak sungai dan terusan disifatkan sesuai untuk aktiviti air seperti memancing ataupun berkayak.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. B. T. Hang Tuah Baharudin berkata, tarikan-tarikan sedemikian berpotensi dibangunkan yang sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk.

“Di sana cantik dengan sungai dan terusannya. Kalau di Terengganu dan Kelantan, mereka ada floating market (pasar terapung). Kalau di sini diwujudkan floating market pada hujung minggu, ia pasti menjadi tarikan yang unik.

“Kemudian, seperti di Kampung Seri Tiram Jaya, saya lihat ada jurulatih dan juga pemain sukan lumba perahu (rowing). Jadi, saya rasa unik, kerana di sana airnya tenang. Kalau pihak berkuasa bangunkan dengan lebih baik seperti ada tempat simpan peralatan dan sebagainya, saya yakin ia jadi lebih menarik,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Putra@Sawah Sempadan Tanjong Karang.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok merupakan sebahagian daripada program Kampung Angkat Madani UPM yang dijalankan sejak lima bulan lalu.

Terdapat enam inisiatif dilakukan menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta seperti menaik taraf infrastruktur termasuk jeti, taman mini dan pejalan kaki Kampung Kunci Air Buang, pemasangan 10 unit lampu solar, gotong royong mengecat kemudahan awam serta perkongsian ilmu di empat sekolah dan komuniti.

Selain itu, dalam karnival tersebut ditawarkan pelbagai aktiviti tempatan menarik seperti pertandingan inovasi kreativiti komuniti, memancing, pakaian ‘terpaling sawah’, kuiz agro interaktif, badang sawah, gusti lengan kampung ‘style’ dan makanan warisan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Maruwan Ahmad berkata, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi program Kampung Angkat Madani khususnya di Sawah Sempadan dapat memberi manfaat kepada keseluruhan tujuh kampung di kawasan berkenaan.

“Kemudian saya juga harapkan satu lagi di bahagian hujung Ban Canal untuk kita bangunkan sebagai tapak kenu. Di kawasan yang lapang dan sudah diberi lampu hijau oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor untuk bangunkannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×