PETALING JAYA: Pas menafikan spekulasi bahawa parti itu akan menyertai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan sekiranya DAP menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Pas kekal dengan pendiriannya iaitu mempertahankan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan lain-lain.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan sama ada secara dalaman atau dengan pihak luar berhubung kerjasama untuk mempertahankan kerajaan sedia ada.
Katanya, Pas dan PN kini sedang memberi fokus untuk mempersiapkan jenteranya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada tahun depan.
“Setakat ini tiada sebarang perbincangan ke arah itu. PN kini memberi fokus persiapan jentera bagi menghadapi PRN Melaka yang dijangka diadakan tahun 2026.
“Buat masa ini, spekulasi itu hanyalah andaian kerana Pas tidak bercadang mendukung kerajaan yang ada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Pas kekal dengan pendiriannya iaitu mempertahankan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, partinya mencapai satu konsensus untuk menarik diri daripada kerajaan jika Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diiktiraf Putrajaya.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa ia diambil dari luar konteks dan sangat mengelirukan.
Susulan laporan itu, timbul spekulasi bahawa Pas akan ‘mengisi’ kekosongan sokongan yang ditinggalkan DAP kepada pentadbiran Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan tampil menjernihkan keadaan apabila dilaporkan berkata, sekiranya pembaharuan yang dituntut DAP tidak dipenuhi dalam jangka waktu diberikan parti itu mungkin akan meninggalkan Kabinet tetapi kekal sebagai ahli komponen PH.
Justeru, beliau yakin kedudukan kerajaan tetap kukuh dan tidak berdepan dengan risiko runtuh. – UTUSAN










