Aktikan mekanisme Troika ASEAN tangani krisis Thailand-Kemboja

Aktikan mekanisme Troika ASEAN tangani krisis Thailand-Kemboja

PENDUDUK yang dipindahkan berkumpul untuk menerima bantuan di kem sementara yang didirikan di wilayah Siem Reap, Kemboja. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan sempadan Thailand dan Kemboja yang semakin meruncing menuntut ASEAN menilai semula langkah segera termasuk pengaktifan mekanisme Troika ASEAN bagi memastikan kestabilan serantau tidak terjejas.

Pakar Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Bakri Mat berkata, penyelesaian konflik itu memerlukan pendekatan kolektif ASEAN namun perlu berhati-hati agar tidak melanggar prinsip tidak campur tangan yang telah dipersetujui negara anggota.

Menurutnya, ASEAN mempunyai tanggungjawab moral kerana konflik yang berpanjangan berpotensi menggugat keselamatan, ekonomi serta imej rantau yang dikenali sebagai zon aman dan stabil sejak sekian lama.

“Usaha perdamaian tidak wajar dipikul satu negara sahaja kerana kestabilan Thailand dan Kemboja memberi kesan langsung terhadap kredibiliti organisasi serantau sebagai blok aman neutral.

“ASEAN perlu pertimbangkan pengaktifan mekanisme Troika ASEAN bagi memastikan tindakan segera diambil secara terancang sekali gus mengelakkan konflik berkembang kepada krisis serantau lebih besar dan membimbangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pemimpin Kem­boja dan Thailand mengambil sikap terbuka dan bersedia un­tuk terus berunding bagi me­redakan ketegangan yang se­dang meletus di sempadan ke­­dua-dua negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membincangkan pergolakan antara ke­dua-dua negara berjiran.

Sementara itu, pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya, Dr. C. Suseela Devi menjelaskan, tempoh konflik sukar dijangka buat masa sekarang.

Tambahnya, ini kerana kedua-dua negara menjadi penentu utama, dan krisis berpotensi berlarutan selagi tiada pihak ketiga tampil menggerakkan inisiatif baharu serta persetujuan bersama belum dicapai.

“Ancaman tetap terkawal kerana konflik berlaku di pedalaman, namun saya ingin menasihatkan warga Malaysia yang ingin bercuti ke negara tersebut untuk mengelak kawasan berhampiran lokasi pertikaian sempadan tersebut,” katanya.

Selain itu, pakar Politik Antarabangsa UUM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman pula berkata, rantau ini bakal menerima kesan besar sekiranya konflik tidak dibendung sehingga mencetuskan peperangan lebih serius melibatkan kedua-dua negara.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Setiausaha Agungnya mungkin perlu memainkan peranan sekiranya mediator sedia ada gagal mempengaruhi Thailand dan Kemboja kembali ke meja damai demi keselamatan serta masa depan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dijadualkan akan berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai peperangan tersebut pada hari ini.

“Panggilan tersebut akan dibuat pada hari ini pada 12 Disember, kira-kira pukul 9:20 malam waktu Thailand,” katanya.

Pada Majlis Kongres semalam, Trump turut menekankan peranannya sebagai pendamai global dan menyatakan keyakinan bahawa beliau akan mewujudkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

“Sehingga kini, kita sudah menyelesaikan lapan peperangan. Namun untuk peperangan yang berlaku antara Thailand dan ‌Kemboja, saya fikir kami perlu membuat beberapa panggilan telefon terhadap perwakilan Thailand dan (Kemboja) dan kami akan berusaha untuk pulihkan semula keadaan seperti sedia kala,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×