Keputusan kes Rosmah bukan kerana kecenderungan politik

Keputusan kes Rosmah bukan kerana kecenderungan politik

ANWAR Ibrahim bertemu pelanggan sebuah restoran selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kelibang di Langkawi, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Perdana Menteri menjelaskan mana-mana kes mahkamah tidak pernah diambil atau dibuat keputusan hanya kerana seseorang itu penyokong kerajaan, pihak lawan atau atas sebarang ugutan politik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merujuk kepada keputusan membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebaliknya berkata, semua proses itu adalah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Saya nak jelaskan kita ambil kes mahkamah ini bukan kerana dia itu penyokong kita, seteru kita atau ugutan tapi ikut lunas jalur hukum.

“Saya ingin mengingatkan rakan-rakan, baik pembangkang atau kerajaan, ataupun badan bukan kerajaan atau badan guaman, harus ingat bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan.

“Kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Janganlah kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, maka kita mesti putuskan ikut selera politik masing-masing,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kelibang hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Rosmah berhubung 17 pertuduhan pengubahan wang haram, tahun lalu.

Menurut notis penarikan balik rayuan difailkan pada 9 Disember lalu, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024. 

Mengulas persoalan mengapa kes lain masih dirayu, Perdana Menteri berkata, penghakiman kes tersebut memberikan ruang untuk pendakwaan berbuat demikian manakala dalam kes Rosmah, alasan penghakiman seakan menutup ruang itu.

“Proses pendakwaan berjalan sejak 2018, apa kata hakim? Lemah sangat kes itu, tanya siapa Peguam Negara 2018? Siapa Perdana Menteri? Kes itu terlalu lemah dan pradikat alasan AMLA sangat tidak berasas. 

“Kalau hakim berkata begitu dan Peguam Negara teliti semula, jadi dia ambil keputusan tidak merayu. Tetapi, mengapa kes lain dia rayu? Itu kerana keputusan penghakiman itu memberi sedikit ruang. Ini seolah-olah membatalkan ruang itu,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan keputusan melibatkan kes Rosmah tidak menjejaskan prosiding kes-kes lain yang akan terus berjalan seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×