KLANG: Warga emas, pesakit dialisis antara 600 penduduk di Blok C Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, di sini terjejas rutin harian apabila kediaman mereka terputus bekalan elektrik hampir seminggu.
Keadaan tersebut berlaku apabila berlaku kebakaran dipercayai akibat litar pintas dalam bilik sesalur elektrik (DB) di blok berkenaan pada awal pagi, Ahad lalu.
Seorang warga emas, Sulaiman Manan, 76, yang tinggal di tingkat tiga berkata, terputus bekalan elektrik mengganggu kesihatannya apabila perlu bergantung kepada mesin oksigen.
“Terputus elektrik, mesin oksigen saya tidak berfungsi. Akibatnya saya mudah semput dan alami sesak nafas. Saya memang bergantung kepada mesin oksigen pada setiap hari.
“Bila bekalan elektrik hendak pulih kembali, isteri saya pun bukan selalu sihat. Susah hari-hari bagi warga emas seperti kami kena turun naik tangga. Tetapi, apa yang kami boleh buat, terpaksa harunginya juga,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di flat lapan tingkat berkenaan mendapati lif-lif di sana tidak berfungsi apabila kebakaran yang berlaku pada Ahad lalu menyebabkan kerosakan pada DB tersebut.
Hal tersebut juga menyebabkan penduduk termasuk warga emas yang tinggal di aras lebih tinggi seperti di tingkat lapan terpaksa menggunakan tangga sebagai alternatif untuk turun dan naik.
Seorang pesakit dialisis, S. Kumaran 51, yang tinggal di tingkat enam memberitahu, gangguan tersebut menyukarkannya untuk ke keluar setiap kali ke pusat dialisis.
“Seminggu tiga kali saya kena pergi ke pusat dialisis, saya pun bukan muda lagi, umur sudah lebih 50 tahun. Masalah buah pinggang yang dialami menyebabkan saya tidak lagi bertenaga seperti dulu.
“Rawatan dialisis menyebabkan badan rasa lemah, kaki mudah sakit. Mudah terjatuh bila naik tangga. Bila naik tangga untuk pulang ke rumah, terpaksa melangkah secara perlahan, satu demi satu anak tangga dilangkah berhati-hati, tetapi sampai bila,” luahnya.
Sementara itu, Pengerusi Blok C Flat Seri Perantau, Azizul Anuar memaklumkan, pihak pengurusan sudah pun memohon bantuan sementara kepada penduduk yang memerlukan daripada pemimpin kawasan dan organisasi bukan kerajaan NGO.
Gangguan bekalan elektrik bukan perkara baharu di alami oleh penduduk, cuma sebelum ini ia tidak mengambil masa yang lama. Namun kali ini ia berlaku dalam tempoh lebih panjang dan menyukarkan penduduk.
“Bagaimanapun, kerja baik pulih pendawaian elektrik dijangka mengambil masa yang sehingga dua minggu. Tetapi tarikh sebenar untuk baik pulih pun belum ditetapkan kerana isu kos dan kajian teknikal masih dibincangkan,” ujarnya.
Juruteknik Pengendali Pengurusan Bangunan, Sujono Masdi ketika ditemui berkata, pihak syarikat yang mengendalikan pengurusan flat itu berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu dibangkitkan penduduk. – UTUSAN










