KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk mewujudkan akta khas tulisan Jawi kerana undang-undang sedia ada seperti Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 sudah cukup memadai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menjelaskan, penggubalan undang-undang baharu akan menyebabkan pertindihan tugas antara agensi kerajaan berikutan DBP melalui aktanya sudah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara itu.
Katanya, cadangan yang lebih efisien untuk menyelesaikan konflik tulisan Jawi adalah melalui pindaan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 dengan memasukkan sedikit penambahan berkenaan pengajaran dan penguatkuasaan tulisan Jawi.
Ujarnya lagi, hasrat untuk memartabatkan tulisan warisan bangsa itu tidak akan terus menjadi ‘perdebatan’ yang berpanjangan andai pihak berwajib mempunyai keazaman politik.
“Kalau ada azam politik di sisi kerajaan negeri masing-masing, hal ini mudah dilaksanakan dan tidak perlu kita takut orang saman sebab yang akan menang adalah kerajaan sekiranya tulisan itu digunakan.
“Sebab kuasa itu sudah cukup asas kepada Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1963. Moderator yang paling utama adalah DBP. Saya cadang dalam Akta DBP 1959 itu sahaja sudah cukup dimasukkan tentang penguatkuasaan jawi mewujudkan pilihan untuk menguatkuasakan.
“Akta khas tidak difikirkan begitu wajar, harus kita masukkan kuasa-kuasa tertentu kepada Akta Pendidikan 1996 dan Akta DBP 1959. Kalau hendak buat pula satu akta lain perlu wujudkan pula satu agensi yang lain. Kerajaan perlu cari pula peruntukan bagi badan itu sedangkan DBP sudah ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia dalam wawancara dengan Munsyi Dewan Jawi Pahang, Dr. Asmadi Abdul Rahman melaporkan satu akta khas tulisan jawi perlu diwujudkan untuk memelihara keindahan warisan bahasa Melayu.
Rais menambah, semua agensi media berbahasa Melayu sama ada media cetak ataupun media elektronik perlu memainkan peranan yang sama dimainkan Utusan Malaysia dalam mengangkat martabat tulisan Jawi.
“Harap rakan-rakan media berbahasa Melayu, sekarang bangkit dan masanya sudah sampai bagi kita mengutarakan, implemen dan menuntut hak yang ada pada bangsa Melayu tentang bahasanya dan skrip tulisannya itu sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, penguatkuasaan tulisan Jawi juga boleh dilakukan oleh setiap negeri yang mempunyai Sultan dan Raja melalui enakmen agama Islam.
Beliau menjelaskan, caranya adalah dengan mengiktiraf tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu serta tulisan komunikasi rasmi untuk agama Islam.
“Kalau letak di bawah majlis agama islam negeri, mana-mana negeri boleh buat enakmen sendiri. Itu bidang kuasa Sultan dan Raja negeri masing-masing. Tidak perlu dibawa ke Parlimen, bahas undi dan sebagainya.
“Maknanya tulisan Jawi itu ada dua fungsi, satu tulisan rasmi untuk bahasa Melayu dan satu lagi adalah tulisan rasmi komunikasi agama Islam,” katanya. – UTUSAN










